Jenayah

Panggilan terputus: Syarikat telekomunikasi dikompaun RM1.2 juta

skmm

CYBERJAYA 12 Mei – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengeluarkan 28 kompaun berjumlah RM1.2 juta kepada syarikat telekomunikasi Maxis, Celcom, DiGi dan U Mobile berhubung masalah panggilan terputus yang berlaku dari Julai hingga September tahun lepas.

Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata, kompaun itu dikeluarkan selepas ujian Extensive End-Point Service Availability Test (EESAT) yang dijalankan pada suku ketiga 2013 itu membuktikan mengenai aduan orang ramai.

“Kami menjalankan EESAT pada tahun 2013 selepas menerima banyak aduan dan laporan daripada orang ramai, NGO dan media mengenai panggilan terputus awal tahun lepas.

“Kami melihat aduan mengenai syarikat-syarikat telekomunikasi sebagai sangat serius terutamanya kerana gagal untuk memberikan perkhidmatan yang mereka janjikan kepada pengguna, namun apa-apa tindakan yang diambil terhadap mereka mestilah mematuhi proses undang-undang,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

“Ia melibatkan ujian pematuhan dan analisis kemudiannya, yang mungkin memakan masa. Oleh itu, kami mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana faham serta membantu kami dalam melaporkan isu-isu seperti ini kepada SKMM dan menggesa mereka untuk terus melaporkan kepada pembekal perkhidmatan mereka berkenaan semua isu yang berkaitan dengan kualiti perkhidmatan, terutamanya mengenai panggilan terputus,” tambahnya.

Katanya, SKMM juga telah bertemu dengan ketiga pegawai eksekutif syarikat-syarikat telekomunikasi dan meminta mereka untuk mempertingkatkan usaha bagi memperbaiki kualiti perkhidmatan dalam tempoh masa yang tertentu. “SKMM telah menyatakan dengan jelas bahawa kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat telekomunikasi jika mereka gagal untuk berbuat demikian,” tambah beliau.

EESAT ini dilakukan secara berkala. Pada Suku Ketiga tahun lepas, sebanyak 120 pengukuran pematuhan telah dijalankan di pelbagai lokasi di seluruh negara.

Kompaun telah dikeluarkan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi yang menunjukkan lebih daripada tiga peratus kadar panggilan terputus yang telah ditetapkan dalam Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan.

Ujian dilakukan pada suku ketiga tahun lepas menunjukkan bahawa Maxis mempunyai kadar panggilan terputus yang paling tinggi iaitu 8.16 peratus di Pendang, Kedah. DiGi pula di kedudukan kedua dan ketiga dengan 8 peratus dan 7.78 peratus kadar panggilan terputus, masing-masing di Laluan Jalan Utama dari Tuaran ke Kudat dan Laluan Jalan Utama dari Membakut ke Keningau.

Celcom Axiata Berhad telah dikenakan tujuh kompaun berasingan berjumlah RM310,000, DiGi Telecommunications Sdn Bhd menerima 11 kompaun berasingan berjumlah RM480,000, Maxis Mobile Services Sdn Bhd dikenakan sembilan kompaun berasingan berjumlah RM360,000, dan U Mobile Sdn Bhd telah dikeluarkan satu kompaun sebanyak RM50,000.

– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");