Jenayah

Pasukan khas banteras perjudian PRK

timbalan ketua polis negara

Georgetown: Polis membentuk pasukan khas untuk memantau dan membanteras kegiatan perjudian sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, pada 25 Mei ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, berkata pasukan Ops Cantas Khas itu akan memantau kegiatan berunsur perjudian ‘siapa yang menang’ pada PRK itu.

“Kita memantau setiap apa yang berlaku semasa pilihan raya dan salah satu daripada pengalaman kita yang terdahulu ialah perkara sedemikian rupa (aktiviti perjudian ketika pilihan raya).

“Sekiranya ada bukti yang nyata, polis akan melakukan serbuan,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat daripada Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berhubung PRK Parlimen Bukit Gelugor di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Salleh Mat Rasid dan Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah.

Mengulas lanjut, Mohd Bakri berkata, polis mahu memastikan tiada pihak yang cuba mengaut keuntungan secara jenayah dan menyalahi undang-undang ketika PRK Parlimen Bukit Gelugor berlangsung.

Dalam perkembangan sama, Abdul Rahim berkata, sejak hari penamaan calon sehingga semalam, polis menerima lapan aduan dan dua kertas siasatan sudah dibuka.

Katanya, satu kertas siasatan itu dibuka ke atas DAP atas dakwaan melanggar peruntukan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana membawa peralatan muzik dan pembesar suara ketika proses penamaan calon.

Satu lagi kertas siasatan dibuka terhadap calon Bebas, Abu Backer Sidek Mohamad Zan kerana didakwa mengeluarkan perkataan yang sensitif serta berbaur perkauman pada hari penamaan calon, katanya.

Abdul Rahim berkata, polis juga menerima laporan mengenai kain rentang calon yang hilang atau diturunkan, kempen tanpa permit dan seorang ahli DAP yang mendakwa didaftarkan sebagai ahli MCA tanpa pengetahuannya.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");