Padang Besar: Lebih 400 murid dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Besar Utara mendakwa mengalami masalah kulit kronik dan gangguan pernafasan dipercayai akibat gangguan debu kotor dari tapak pelabuhan darat, berhampiran sekolah.
Justeru, pihak Pemuafakatan Sarana Ibu Bapa sekolah berkenaan mahu tindakan segera diambil bagi mengelak kejadian lebih teruk menimpa pelajar dan kakitangan sekolah berkenaan.
Pencemaran debu
Selain pencemaran debu, proses pembelajaran terganggu dengan bunyi bising dari tapak berkenaan terutama ketika kren melakukan kerja memindahkan kontena.
Pengerusi Permuafakatan Sarana Ibu Bapa sekolah berkenaan, Abdul Manan Mat Salim, berkata pihaknya bimbang dengan masalah yang menyelubungi murid dan kakitangan sekolah itu.
Beliau berkata, masalah mengenainya pernah disuarakan beberapa kali kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan wakil rakyat kawasan, namun masih menemui jalan buntu.
Katanya, sebelum ini adalah ura-ura mengatakan sekolah itu akan dipindahkan, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
-Berita Harian