Isu Panas

Penyokong Langgar Peraturan, SPR Buat Laporan Polis

abdul aziz

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuat laporan polis terhadap penyokong-penyokong parti yang membawa gendang dan pembesar suara ketika proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor di Dewan Sri Pinang di sini pada Ahad.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata walaupun proses penamaan calon berjalan lancar, pihaknya mendapati penyokong-penyokong parti politik tertentu telah melanggar undang-undang pilihan raya.

Beliau berkata terdapat beberapa penyokong membawa gendang dan alat pembesar suara dan perbuatan ini melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Kami akan membuat laporan polis berkenaan insiden hari ini supaya satu siasatan dapat dibuka dan segala tindakan akan diambil oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRK Parlimen Bukit Gelugor di sini, Ahad.

PRK Bukit Gelugor pada 25 Mei ini bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Ramkarpal Singh daripada DAP, Datuk Huan Cheng Guan (PCM) serta dua calon bebas Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar dan Abu Backer Sidek Mohamad Zan.

Mohamed Nabi Bux akan menggunakan simbol bunga manakala Abu Backer Sidek simbol kuda. Borang pencalonan Lim Chee Khoon daripada Penang Front Party pula ditolak selepas beliau gagal menyerahkan deposit dalam tempoh yang ditetapkan SPR.

Abdul Aziz berkata parti-parti politik yang bertanding harus memberitahu penyokong mereka supaya tidak melanggar undang-undang ketika berkempen dan proses pengundian.

“Calon-calon yang bertanding harus mematuhi segala undang-undang dan bukannya berkempen ikut suka hati. SPR akan melaporkan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata pihaknya memberi jaminan aspek keselamatan, persiapan semasa penamaan calon, tempoh berkempen dan pengundian akan berjalan lancar berikutan anggota polis yang mencukupi.

“Kita memandang serius aspek keselamatan dan sebagai contoh hari ini semasa proses penamaan calon, anggota kita ditugaskan di semua lokasi yang penting bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dan hari ini ia berjalan lancar tanpa sebarang insiden,” katanya.

Abdul Rahim berkata bermula selepas proses penamaan calon, polis menasihatkan semua parti yang berkempen supaya memohon permit bagi keselamatan dan kelancaran berkempen.

“Kepada parti yang bertanding, kita nasihati supaya mereka mematuhi peraturan pilihan raya dan mengingatkan anggota mereka agar turut mematuhinya bagi mengelak perkara yang tidak diingini,” katanya.

Kerusi Bukit Gelugor kosong berikutan kematian Karpal Singh daripada DAP pada 17 April lalu berikutan nahas jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak.

Dalam Pilihan Raya Umum pada Mei 2013, Karpal Singh menang dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon Barisan Nasional Teh Beng Yeam.

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");