Sukan Hari Ini

Petanda baik

jurulatih

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) puas hati hasil pertemuan dengan Gert Engels (gambar) semalam namun ia bukan bermakna bekas pengendali skuad kebangsaan Mozambique kelahiran Jerman itu menjadi pilihan utama.

Badan induk bola sepak tanah air itu dilihat tidak mahu mengambil langkah tergesa-gesa mencari calon ketua jurulatih Harimau Malaya apabila mahu menilai dua lagi calon luar iaitu bekas jurulatih skuad remaja Sepanyol, Luis Milla Aspas dan bekas jurulatih Jerman Rudi Voller dalam tempoh terdekat.

“Kami sudah mengadakan perbincangan dengan Engels namun belum ada keputusan lagi.

“Kami puas hati dengan perbincangan itu tapi kami mahu menemuramah dua lagi calon, Luis Milla dan seorang lagi dari Jerman,” kata Naib Presiden FAM Datuk Seri Subahan Kamal.

Sebelum ini, Voller, 54, bekas penyerang legenda Jerman dikatakan berada dalam senarai 37 calon selepas FAM membuat keputusan tidak mahu menyambung kontrak Rajagobal yang berakhir pada 31 Disember lalu.

Bagaimanapun nama Voller tenggelam selepas FAM lebih berminat untuk mendapatkan khidmat bekas jurulatih skuad Piala Dunia Jepun Philippe Troussier awal tahun ini.

Bagaimanapun mereka gagal mencapai persetujuan bersama dan mendorong badan induk itu melantik jurulatih Harimau Muda A sebagai pengendali sementara skuad senior.

Subahan sebelum ini mengesahkan Engels, 57, dan bekas pemain tengah Barcelona dan Real Madrid, Aspas antara dua calon jurulatih asing yang berada dalam perhatian manakala seorang lagi masih menjadi tanda tanya.

Walaupun FAM tampak lebih berminat dengan jurulatih asing pengurus pasukan kebangsaan itu tidak menafikan Kim Swee dan pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dollah Salleh masih mempunyai peluang untuk mengisi kerusi panas itu.

FAM dilihat terdesak untuk mencari jurulatih baru memandangkan skuad kebangsaan perlu mempersiapkan diri mengharungi Piala AFF hujung tahun ini selepas gagal mempertahankan kejuaraan 2010 pada edisi terakhir dua tahun lalu.

Namun Subahan sudah memberi jaminan FAM bakal mengumumkan pelantikan jurulatih baru awal bulan depan, selepas tamat Mesyuarat Kongres Pemilihan FAM pada 25 Mei ini tidak kira ia jurulatih tempatan atau luar.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");