Isu Panas

Presiden GERAKAN calon terbaik BN

presiden gerakan

Ipoh: Penasihat GERAKAN, Datuk Chang Ko Youn yakin presiden parti itu, Datuk Mah Siew Keong, adalah calon terbaik Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.

Ko Youn yang juga bekas Timbalan Presiden GERAKAN, berkata Siew Keong adalah anak jati Teluk Intan yang amat dikenali selain mempunyai personaliti dan latar belakang keluarga yang baik serta rekod perkhidmatan cemerlang sepanjang dua penggal menjadi Ahli Parlimen kawasan itu.

Terus beri khidmat

“Malah, beliau masih memberikan perkhidmatan kepada penduduk kawasan berkenaan walaupun tidak lagi menjadi Ahli Parlimen sejak 2008.

“Saya menyokong beliau sebagai calon BN… saya akan bercakap dan memujuk bagi meyakinkannya bahawa ini (bertanding dalam PRK Teluk Intan) adalah langkah yang betul.

“Kami (Jawatankuasa Kerja Pusat GERAKAN) harus memanggilnya untuk kembali (bertanding),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke Pameran Makanan Rumah Orang Tua Simee di sini, semalam.
Siew Keong yang dipilih sebagai Presiden GERAKAN pada pemilihan parti Oktober lalu, pernah berikrar sebelum pemilihan itu bahawa beliau tidak akan bertanding jika diadakan pilihan raya dalam tempoh terdekat bagi memberikan tumpuan kepada usaha mengukuhkan kekuatan parti.

Beliau menjadi Ahli Parlimen Teluk Intan dari 1999 hingga 2008 sebelum tewas kepada calon DAP pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan 2013.

PRK Teluk Intan perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng akibat barah pada 1 Mei lalu.

Berkorban demi parti

Ko Youn berkata, beliau berharap Siew Keong sanggup ‘berkorban’ demi kepentingan parti, BN dan kawasan Parlimen berkenaan kerana pengundi di situ serta parti memerlukan perkhidmatan serta kepemimpinannya.

Malah, beliau berpendapat dalam usia 52 tahun, Siew Keong dianggap masih muda dan mempunyai tempoh masa panjang untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada parti dan rakyat.

Parti GERAKAN pertama kali memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan atas tiket BN pada 1974 dan mengekalkannya sehingga 1997 apabila penyandangnya, Ong Tin Kim, meninggal dunia.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");