Tindakan DAP mencalonkan Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan diakui sebagai satu percaturan yang berisiko dan berkemungkinan boleh menyebabkan parti itu kehilangan kerusi tersebut yang dimenangi pada pilihan raya umum 2008 dan 2013 yang lalu.
Demikian ulasan ibu kepada Dyana Sofya, Yammy Selamat mengenai tindakan DAP yang mengumumkan keputusan berkenaan di Teluk Intan, hari ini.
“Saya sungguh tidak menyangka Dyana Sofya diberi kepercayaan bertanding sebagai calon DAP,” katanya.
Jelas Yammy lagi, permulaan penglibatan anaknya dalam dunia politik tidak pernah dibantah walaupun Dyana Sofya memilih untuk berpihak kepada pihak pembangkang.
Mengulas pula mengenai sentimen perkauman jelasnya, tiap-tiap parti yang terbentuk mempunyai agendanya tersendiri dan sokongan terhadap anaknya tidak langsung melibatkan sebarang kekecewaan dalam dirinya selama berkecimpung dalam dunia politik dahulu.
“Jika saya kecewa dengan UMNO sudah lama saya keluar dari parti tersebut tetapi zaman saya sudah berlalu, dan kini zaman generasi muda yang patut diketengahkan serta diberi peluang,” katanya lagi.
Katanya lagi, posisinya sebagai ibu kepada Dyana Sofya perlu difahami semua dan segala cemuhan dan tohmahan yang dilontarkan kini diterima keluarga secara positif.
“Dalam setiap keluarga tak akan ada yang sealiran pastinya ada percanggahan,” katanya sambil menegaskan beliau menyokong Dyana Sofya kerana calon itu anaknya dan bukan kerana mana-mana parti.
Yammy pernah aktif dalam arena politik dan merupakan setiausaha UMNO bahagian Ipoh Barat yang pertama
sebelum menyertai Semangat 46 pada tahun 1988 serta kembali menyertai UMNO pada tahun 1998 sehingga kini.
Yammy yang cukup terharu hari ini menitiskan air mata semasa ditemubual tanda kegembiraan melihat anaknya diraikan seperti seorang pengantin.
“Saya tidak akan keluar dari UMNO kecuali saya dipecat dan kehadiran saya hari ini bukan kerana saya mengkhianati parti tetapi kerana saya seorang ibu,” tegasnya lagi.
Dyana Sofya yang turut mempunyai darah campuran Cina itu jelas ibunya, berkecimpung dalam dunia politik atas pilihannya sendiri tanpa pengaruh mana-mana pihak.