Perak Hari Ini

PRK Teluk Intan: Penyokong Diarah Patuhi Arahan Polis, SPR

prk ti76

Penyokong calon dan parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan diingatkan supaya mematuhi arahan polis ketika proses penamaan calon, esok.

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata penamaan calon akan diadakan di Dewan Semarak Kasih, SMK Seri Perak, dekat Teluk Intan bermula dari jam 9 pagi hingga 10 pagi.

“Dijangkakan calon yang bertanding akan diiringi oleh penyokong masing-masing dan kita harap mereka dapat mematuhi arahan polis dan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang proses penamaan calon berlangsung.

“Bagi melancarkan pergerakan calon dan penyokong masing-masing, polis juga telah menetapkan kawasan bagi penyokong parti berarak dengan mengikut laluan dan tempat yang ditetapkan,” katanya pada sidang media di IPK Perak, dekat Ipoh, hari ini.

Semua calon dan penyokong katanya, juga diiingatkan tidak menimbulkan provokasi ke atas mana-mana pihak, tidak menggunakan pembesar suara atau memasang apa-apa alatan muzik, tidak dibenarkan membawa mercun, tidak meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan dan tidak membawa barang atau senjata yang memudaratkan.

Tambah beliau lagi, sepanjang proses tersebut, hanya mereka yang mempunyai pas yang dikeluarkan oleh SPR sahaja dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon.

“Sebanyak 100 pas dikeluarkan bagi setiap parti yang bertanding dan sesiapa yang tidak memakai pas yang diperuntukkan akan diarahkan keluar dari kawasan terbabit,” tegasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, polis katanya, menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan mereka dan mengelak daripada memasuki Jalan Changkat Jong, Teluk Intan.

“Jika tiada urusan perlu, orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan daripada memasuki kawasan terbabit sekaligus dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh penamaan calon,” katanya lagi.

Pihak polis katanya, masih mengekalkan tema ‘Incident Free PRK’ dalam memastikan PRK ini berjalan lancar tanpa kejadian tidak diingini.

Bagi tujuan tersebut, pihak polis akan meningkatkan elemen penugasan melalui penempatan pondok-pondok polis sementara, balai polis bergerak dan rondaan yang lebih kerap oleh MPV, trafik dan unit LSV, katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak melakukan provokasi ke atas pihak lawan contohnya mengejek dan membaling objek ke arah pihak lain.

Selain itu, tindakan membangkitkan isu sensitif seperti isu perkauman dan keagamaan ketika berkempen yang boleh mencetuskan kemarahan kaum dan penganut agama lain adalah dilarang sama sekali, tegasnya.

“Jangan melakukan perbuatan khianat ke atas harta benda awam seperti merosakkan bilik gerakan, mencabut poster dan bendera parti lain,” katanya lagi.

Sementara itu, pihak-pihak yang berkempen dinasihati mengikut prosedur dan undang-undang yang telah ditetapkan terutamanya dari segi permit ceramah dan masa yang ditetapkan.

Calon yang bertanding juga dinasihatkan jangan menghantar permit mengadakan ceramah di saat-saat akhir.

“Orang ramai pula dinasihatkan jangan mudah mempercayai sumber maklumat yang tidak sahih sebaliknya beri tumpuan dan fokus kepada maklumat berasaskan fakta daripada sumber yang boleh dipercayai,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");