Berita Hari Ini

Proton bakal kerjasama dengan Geely Automobile

SYARIKAT automotif negara, Proton Holdings Bhd, bakal bekerjasama dengan pengeluar kereta dari China, Geely Automobile Holdings Ltd, untuk meluaskan pasaran di negara tembok besar itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Proton dan Geely kini dalam peringkat rundingan setelah menandatangani ‘perjanjian hasrat’ pada 22 April lepas yang disaksikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Mereka masih dalam peringkat perbincangan… skop kerjasama yang diteroka termasuk reka bentuk kereta, penyumberan, pengeluaran, pemasaran, import dan pengedaran ke pasaran Asean dan China,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan beliau ke China di Beijing hari ini.

Najib berkata jika perjanjian antara Proton dan Geely dimeterai, pengeluar kereta Malaysia itu bakal mengeluarkan kereta berdasarkan reka bentuk model Geely.

Perdana Menteri berkata pada mesyuarat dua hala yang dihadiri beliau dan Perdana Menteri China Li Keqiang pada sebelah petang, beliau meminta kerjasama dan sokongan kerajaan China dalam menjayakan usaha sama Proton dan Geely itu.

Geely ialah pengeluar kereta yang memberi tumpuan ke atas bidang pembangunan, pengeluaran dan jualan kenderaan penumpang, dengan sebahagian besar keretanya dijual di pasaran China.

Sehingga 4 April tahun lepas, permodalan pasaran syarikat itu berjumlah US$3.9 bilion.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");