Laporan Eksklusif

PUNB peruntuk RM75 juta sokong usahawan industri automotif – PM

PM 2

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memperuntukkan sejumlah RM75 juta bagi tempoh 2014-2019 untuk terus menyokong usahawan Bumiputera dalam industri automotif.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sokongan ini diberikan dalam aspek pembangunan teknologi, modal insan dan rantaian bekalan.
“Sokongan kerajaan kepada para usahawan Bumiputera akan dipergiatkan lagi menerusi kerjasama PUNB dengan pelbagai pihak,” katanya.

Antaranya termasuk Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Institut Automotif Malaysia dan agensi kerajaan lain dalam usaha untuk terus memacukan perjalanan keusahawanan Bumiputera di negara ini,” kata perdana menteri dalam ucapannya pada majlis perasmian Auto Pro Forum PUNB 2014 di sini hari ini.

Najib turut memaklumkan setakat April 2014, PUNB telah mewujudkan lebih 590 perniagaan automotif yang melibatkan seramai 671 usahawan Bumiputera dengan nilai projek yang diluluskan sebanyak RM157 juta.

Perdana menteri berkata automatif merupakan antara industri yang penting kepada negara kerana ia menyumbang 3.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, dengan jumlah eksport sebanyak RM5.3 bilion serta menyediakan pekerjaan kepada 550,000 orang pada tahun 2013.

“Industri ini dijangka akan berkembang lagi sebanyak 10 peratus menjelang 2020. “Justeru itu, kerajaan akan sentiasa berusaha memastikan langkah-langkah sewajarnya di dalam sektor ini akan diambil di setiap peringkat sama ada di peringkat pengeluaran mahupun di peringkat perkhidmatan kerana industri ini mempunyai masa depan yang cerah serta pulangan yang lumayan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PUNB Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam berkata untuk tahun ini, PUNB menyasar untuk membangunkan sebanyak 95 lagi syarikat dan perniagaan berkaitan automotif yang melibatkan peruntukan RM22 juta.

Tambahnya lagi PUNB turut berhasrat untuk meningkatkan sebanyak 20 peratus lagi jumlah usahawan pada tahun hadapan berbanding sasaran tahun ini untuk sektor berkenaan.

Katanya, PUNB akan terus berusaha untuk menarik golongan Bumiputera menceburkan diri dalam sektor tersebut memandangkan penguasaan kaum Bumiputera hanya sebanyak 10 peratus dari 35,000 bengkel bebas di seluruh negara.

-BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");