KUALA NERUS – Meskipun pelantikan Datuk Ahmad Razif Abd Rahman sebagai menteri besar baharu bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Said berlaku dalam keadaan penuh kontroversi, namun kepercayaan dan keyakinan rakyat terus bersama Adun Seberang Takir itu.
Perkhabaran gembira tersebut disambut baik seluruh penduduk kawasan Dun Seberang Takir kerana kepimpinan tertinggi negeri itu dipegang wakil rakyat dari Dun berkenaan.
Walaupun tercetus kontroversi pada malam sama Ahmad Razif selesai mengangkat sumpah sebagai menteri besar, namun perkembangan terkini insiden disifatkan sebagai perselisihan faham kecil itu kembali melegakan semua pihak.
Tinjauan Sinar Harian di Seberang Takir mendapati, kebanyakan penduduk gembira dengan pelantikan Ahmad Razif sebagai pemimpin utama negeri memandangkan beliau dikenali sebagai wakil rakyat yang mesra serta prihatin.
Apa yang pasti, Ahmad Razif kini menjadi sandaran untuk penduduk Seberang Takir dan seluruh Terengganu melihat pembangunan serta perubahan lebih positif demi kebaikan semua rakyat.
Yakin keupayaan Ahmad Razif
Pengerusi Homestay Teluk Ketapang, Md Azmi Abd Aziz berkata, dia juga gembira dengan pelantikan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus itu sebagai menteri besar.
“Saya mengenali beliau (Ahmad Razif) sebagai wakil rakyat yang menjalankan tugas dengan baik, dan yakin beliau mampu memikul tanggungjawab sebagai pemimpin utama negeri.
“Saya harap beliau dapat melaksanakan tugas dengan sempurna demi kebaikan bersama kerana kami ingin lihat pembangunan di Kuala Terengganu seiring dengan daerah lain. Kami, warga Seberang Takir menyokong penuh pelantikan ini dan yakin beliau mampu meneruskan kesinambungan kejayaan pemimpin terdahulu,” katanya.
Dalam pada itu, Md Azmi berharap Ahmad Razif dapat mengkaji semula kenaikan cukai pintu yang disifatkan terlampau tinggi, memandangkan rakyat Terengganu kini tersepit dengan pelbagai kenaikan harga barangan.
“Kini, isu kenaikan cukai pintu antara topik menjadi bualan ramai kerana kenaikan dikenakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) terlampau tinggi dan sukar diterima.
“Saya percaya dan yakin, jika beliau (Ahmad Razif) mampu mencari penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan kenaikan harga cukai pintu, ia akan menambahkan lagi kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap beliau sebagai pemimpin berjiwa rakyat,” katanya.
Sandaran rakyat Terengganu
Sementara itu, bekas tentera, Juhari Mat Alias, 62, turut mengakui gembira dan teruja dengan pelantikan Ahmad Razif sebagai menteri besar, sekali gus menjadi sandaran cukup besar bagi seluruh rakyat Terengganu.
“Sekalung tahniah saya ucapkan kepada beliau (Ahmad Razif) yang dilantik sebagai menteri besar baharu dan berharap beliau mampu memimpin negeri ini dengan jayanya.
“Kehebatan dan kredibiliti beliau sebagai wakil rakyat sudah terbukti apabila beliau menjalankan tugas dengan cukup baik. Jadi, saya percaya beliau dapat memimpin negeri ini dengan sebaiknya,” katanya.
Kata Juhari lagi, sebagai rakyat, dia menyokong sepenuhnya sesiapa sahaja yang diangkat sebagai pemimpin dan apabila wakil rakyat di kawasannya terpilih, sudah pasti sokongan itu akan menjadi lebih kuat.
-Sinar harian