Jenayah

Rebah lihat tubuh ibu

maut kemalangan

Alor Setar: Seorang pelajar lelaki hanya mampu menangis kesedihan sebelum rebah apabila melihat tubuh ibunya yang ditutupi dengan surat khabar selepas terbabit dalam kemalangan di Kuala Kedah, dekat sini, semalam.

Remaja berusia 13 tahun tidak mampu menahan sebak dan hanya mendiamkan diri sebelum ditenteramkan oleh orang ramai di lokasi kejadian berhampiran Masjid Aman, di sini.

Dalam kejadian jam 2 petang, mangsa Norshaifelliza Abdul Karim, 33, maut apabila motosikal ditunggangi dirempuh dari arah belakang oleh sebuah lori tanah yang dipercayai gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Mangsa dari Kampung Baru, Tambak Bunga, Kuala Kedah yang bekerja sebagai pembantu am di Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Perak mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan selepas turut diseret sejauh 15 meter oleh kenderaan berat terbabit.

Seorang saksi yang dikenali Hamidi, 22, berkata dia secara kebetulan memandu kereta berada di belakang motosikal mangsa di persimpangan terbabit kerana sedang menunggu lampu isyarat bertukar hijau.

Menurutnya, sebaik lampu isyarat bertukar hijau, dia melihat motosikal mangsa terus bergerak, tetapi dikejutkan dengan kemunculan sebuah lori yang merempuh wanita terbabit lalu turut diseret sebelum kenderaan berat itu berhenti di hadapan.

“Saya kemudian keluar dari kereta lalu pergi ke arah lori terbabit dan mendapati mangsa cedera parah, manakala keadaan motosikal ditunggangi mangsa hancur kerana diseret.

“Saya kemudian meminta pemandu lori terbabit agar menghubungi ambulans, tetapi dia berdolak dalih menyebabkan saya terpaksa meminta bantuan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal pemandu berusia 41 tahun terbabit mendakwa brek lori berkenaan mengalami kerosakan menyebabkannya gagal memberhentikan kenderaan lalu merempuh mangsa.

Menurutnya, mayat mangsa yang cedera parah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk bedah siasat.

Katanya, pemandu lori berkenaan ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.

“Setakat ini, polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");