Jenayah

Samun salah masa

samun salah masa

Kapar: Dua daripada empat lelaki yang cuba menyamun sebuah kontena yang diletakkan di dalam kawasan sebuah kedai kereta terpakai di Jalan Batu Tiga, di sini, ditahan apabila premis berkenaan diserbu sepasukan anggota polis, awal pagi kelmarin.

Cubaan kumpulan penjenayah berkenaan kira-kira jam 3 pagi itu disedari pemilik premis terbabit yang berusia 66 tahun sebelum dia melaporkan kejadian itu kepada sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara yang sedang membuat sekatan jalan raya sempena Op Cantas di Persiaran Sultan Ibrahim, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, pemilik terbabit bersama sepasukan polis kemudian bergegas ke tempat kejadian sebelum mendapati empat lelaki sedang memunggah barangan dalam sebuah kontena yang diletakkan dalam premis itu.

Beliau berkata, kehadiran polis menyebabkan suspek yang berusia lingkungan 30-an itu terkejut sebelum dua daripadanya meloloskan diri ke kawasan berhampiran, manakala dua lagi diberkas selepas berlaku pergelutan.

“Suspek memasuki kawasan premis selepas mengikat seorang daripada dua pengawal keselamatan yang bertugas bagi membolehkan mereka memunggah barangan elektronik yang disimpan dalam kontena berkenaan.

“Suspek hanya sempat mengeluarkan beberapa alat perakam kamera litar tertutup (CCTV), pencetak dan beberapa alatan elektronik yang nilainya mencecah ribuan ringgit,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) IPD Klang Utara, di sini, semalam.

Katanya, polis turut merampas tiga parang, tukul, kunci kereta selain beberapa peralatan pecah rumah yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Polis sudah mengenal pasti dua lagi suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan dan percaya dapat menahan mereka dalam masa yang terdekat dan seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Menurutnya, dua suspek yang masing-masing berusia 30 dan 31 tahun itu direman bermula semalam untuk siasatan lanjut dan polis juga tidak menolak kemungkinan suspek sama terbabit dengan kejadian jenayah yang berlaku di kawasan Klang Utara sebelum ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun berkawan menggunakan senjata dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan,” katanya.

-METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");