Perak Hari Ini

Shahrizat Ziarah, Serah Sumbangan Kepada Lima Beradik Yatim Piatu

20140526_101705
Yayasan Kebajikan Malaysia yang diterajui Pengerusinya, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil hari ini meluangkan masa menziarahi dan menyampaikan sumbangan wang tunai RM5,000 kepada waris terdekat kepada lima beradik yang kehilangan ibu bapa mereka dalam satu kemalangan ngeri di Jalan Chan Sow Lin, pagi Jumaat lalu.

Ketika ditemui pemberita di rumah pusaka Allahyarham Jeffri Mohd Zin di Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman, dekat Sungkai sebentar tadi, beliau berharap sumbangan yang dihulurkan oleh yayasan itu dapat digunakan untuk urusan persekolahan dan keperluan harian kelima-lima adik beradik terbabit, Mohd Haikal Jeffri, 16; Nur Fatin Adlina, 14; Mohd Aidil, lapan tahun; Nor Syamimi, empat tahun dan Nor Auni Safiya, dua tahun.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO turut menyatakan kesudian pihaknya untuk membantu lima beradik terbabit sekiranya mereka memerlukan bantuan atau pertolongan di masa akan datang.

“Difahamkan, buat sementara waktu ini, kelima-lima adik beradik ini akan diletakkan di bawah jagaan ibu saudara mereka dan saya harap sumbangan RM5,000 ini dapat dijadikan sebagai permulaan untuk tabung simpanan di masa hadapan.

“Usaha di pihak yayasan ini sekadar untuk membantu dan meringankan beban lima adik-beradik terbabit yang kehilangan ibu bapa dalam sekelip mata,” katanya lagi.

Shahrizat turut menyampaikan amanat kepada waris terdekat, Zainah Mohd Zin supaya menjaga kelima-lima anak saudaranya itu dengan sebaik-sebaik mungkin.

Sementara itu, Zainah merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas kunjungan dan sumbangan wang tunai yang dihulurkan oleh pihak yayasan terbabit.

“Terima kasih kepada Shahrizat dan pihak yayasan di atas sumbangan ini.

“Sebagai ibu saudara, saya akan cuba menjaga mereka dengan sebaik mungkin,” ujarnya sebak.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi Jumaat lalu, motosikal yang dinaiki Jeffri dan isterinya, Norsalawati Ibrahim dipercayai hilang kawalan dan mereka terjatuh sebelum digilis tayar belakang kenderaan berat yang membawa muatan pasir.

Jeffri yang bekerja sebagai juruteknik mesin fotostat dikatakan dalam perjalanan dari rumah mereka di Pangsapuri Taman Desa Cheras untuk menghantar isterinya yang bekerja di sebuah kilang berhampiran Jalan Chan Sow Lin.

Difahamkan jenazah suami-isteri itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Changkat Sulaiman selepas solat Isyak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");