Sukan Hari Ini

Sukma: Pahang sasar 32 pingat emas

pahang

MAJLIS Sukan Pahang (MSP) menyasarkan untuk membawa pulang 32 pingat emas sempena temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 di Perlis yang akan bermula 24 Mei hingga 4 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Pahang, Datuk Mohd Johari Hussain berkata, seramai 382 atlet iaitu 221 lelaki dan 161 wanita mewakili Pahang dalam pelbagai jenis sukan yang dipertandingkan.

Menurutnya, persiapan dilakukan merangkumi 24 jenis sukan iaitu 19 sukan wajib  dan lima sukan pilihan termasuk tinju, petanque, tenis, golf dan kayak.

“Pencapaian terbaik kontinjen Sukma Pahang adalah 45 pingat emas, 40 perak dan 38 gangsa di kejohanan Sukma Pahang 2012.

“Kali ini kita akan berusaha yang terbaik dengan sasaran 32 pingat emas, 36 pingat perak dan 44 pingat gangsa bagi Sukma 2014.

“Ini termasuk sasaran menerusi sukan yang diberi keutamaan seperti menembak, pencak silat, angkat berat, kayak, petanque dan beberapa lagi acara,” katanya selepas majlis perasmian penutup kem motivasi dan majlis penyerahan bendera kontinjen Sukma Pahang di Dewan Arabian, Bukit Gambang Resort, di sini, semalam.

Majlis disempurnakan oleh, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang mencemar duli memberi semangat kepada atlet.

Mohd Johari berkata, kunjungan Sultan Pahang ke majlis berkenaan adalah satu penghormatan kepada semua atlet untuk meneruskan kesinambungan pencapaian pingat terbaik Pahang.

“Bukan sekadar laungan semangat sahaja tetapi baginda mahu atlet menunjukkan usaha yang terbaik untuk pencapaian pingat.

“Keberangkatan Sultan Pahang ke majlis ini bagi menyempurnakan acara penyerahan bendera kontinjen Sukma Pahang 2014 kepada Ketua Kontinjen, Datuk Zulkifkli Yaakob mampu membangkitkan semangat atlet untuk bertanding,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");