Isu Panas

Tangguh hudud jalan keluar bagi PAS dan Umno?

no hudud

Keputusan PAS menangguhkan undang-undang jenayah Islam dicadangkan atau hudud merupakan jalan keluar politik bagi parti Islam itu dan Umno, kedua-duanya terperangkap dalam pergolakan bantahan daripada sekutu bukan Islam, kata ahli politik dan penganalisis.

Seorang penganalisis menggambarkannya sebagai usaha menyelamatkan air muka PAS, DAP yang daripada awal membantah hasrat rancangan hudud sekutunya, memberi amaran walaupun parti Islam itu menggunakan cara yang betul dengan membawanya ke Parlimen, kebenaran daripada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) masih diperlukan.

Ahli-ahli Parlimen Umno bagaimanapun menegaskan kanun keseksaan Islam itu tidak dapat diteruskan walaupun parti Melayu itu yang merupakan parti tunjang Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti kerusi di Parlimen.

Dengan 88 ahli Parlimen, Umno boleh bekerjasama dengan 22 ahli Parlimen PAS untuk membawa usul persendirian hudud ke Parlimen yang mempunyai 222 kerusi, sekaligus merintis jalan membawa undang-undang itu ke Kelantan.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Umno berkata mereka akan berpegang kepada konsensus BN dalam merujuk beberapa isu serta mendakwa infrastruktur semasa dan kesedaran mewujudkan undang-undang Islam itu masih belum memadai untuk diperkenalkan di Malaysia.

Walaupun bersetuju dengan penangguhan pembentangan PAS dan menganggapnya sebagai perkembangan positif, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata penangguhan itu membuktikan sebarang isu sensitif perlu dirujuk kepada pemimpin tertinggi PR.

“Walaupun rang undang-undang itu belum lagi dibentangkan, isu hudud sudah dibincangkan dalam kerangka PR dan kami menegaskan sebarang usaha pada masa depan perlu mendapat kebenaran kepimpinan Majlis Pimpinan PR.

“Kita dalam pakatan dan konsensus diperlukan dalam apa juga usaha yang dicadangkan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Loke yang menggesa PAS meninggalkan PR jika masih mahu meneruskan aspirasi mereka, mengakui isu hudud melonggarkan ikatan di antara dua parti, namun kini optimis bahawa mereka boleh meletakkan isu itu ke belakang bagi memberikan fokus kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor dan Teluk Intan.

Ahli strategi DAP, Dr Ong Kian Ming mengingatkan parti pembangkang perlu berhati-hati dengan jawatankuasa teknikal bersama yang ditubuhkan bersama PAS dan Umno agar tidak dijadikan sebagai alat memecah-belahkan PR.

“Kami cuba mengelak krisis besar dalam PR dan isu hudud belum habis diperkatakan,” katanya.

Penganalisis politik Oh Ei Sun berkata PAS dan Umno mendapati sejak beberapa minggu kebelakangan ini kebanyakan rakyat Malaysia tidak menyenangi hudud dan penangguhan ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Katanya, PAS berdepan pukulan berganda apabila berdepan risiko dipinggirkan PR dan kehilangan sokongan pengundi bandar.

“Ini salah satu cara mereka menangguhkannya,” kata penganalisis dari Sekolah Pengajian Antarabangsa Singapura, S Rajaratnam merujuk kepada tindakan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya memberikan masa secukupnya kepada jawatankuasa teknikal hudud mengkaji kesan pelaksanaan Kod Kanun Syariah II.

Katanya, jika PAS tidak mengambil langkah tersebut, maka pastinya kerajaan BN melalui ‘taktik prosedur’ memastikan rang undang-undang itu tidak dibentangkan di Parlimen.

“Umno sebagai parti Melayu tidak akan dengan mudah menolak hudud, maka mereka akan menghalang ia dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkeras bahawa partinya tidak akan membawa rang undang-undang itu kerana terikat dengan konsensus BN sebelum apa-apa keputusan boleh dibuat.

“Kami tidak boleh bertindak sendiri. Kami mempunyai perikatan di mana kami melakukan sesuatu melalui konsensus. Kami mesti patuh kepada pendirian parti,” katanya.

Parti majoriti Cina BN, MCA, Gerakan, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP) lantang menentang hudud, dengan MCA mengatakan “akan mengkaji kedudukan mereka dalam BN” jika Umno menyokong pindaan undang-undang itu di Parlimen.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz dari Umno mengatakan undang-undang hudud tidak sesuai dilaksanakan sekarang kerana kekurangan infrastruktur dan kesedaran di kalangan rakyat.

“Kita tidak boleh perkenalkan undang-undang tersebut tanpa mendidik rakyat. Mereka (PAS) bermain politik, mengapa mereka merancang memperkenalkan Rang Undang-Undang apabila mereka tahu mereka tidak boleh melaksanakannya?” soalnya.

Katanya, Umno tidak melihat pelaksanaan hudud sebagai keutamaan.

Walaupun beliau menyokong undang-undang Islam itu, ahli Parlimen penggal pertama itu mengatakan ianya tidak boleh dilaksanakan tanpa mendidik umat Islam dan bukan Islam.

“Apabila kerajaan memperkenalkan sistem pentaksiran berasaskan sekolah, ia menjadi kelam kabut, apa lagi hudud,” katanya merujuk kepada sistem pendidikan kontroversi diperkenalkan Putrajaya yang ditangguhkan pada Februari selepas berlakunya bantahan awam.

Mengalu-alukan keputusan PAS, Gerakan berkata mereka bersedia mengheret parti Islam itu ke mahkamah jika mereka menarik balik keputusan itu.

“Notis guaman kami yang dihantar kepada PAS pada 24 April lalu kekal. Jelas tiada dalam peruntukan Perlembagaan untuk melaksanakan hudud. Ia tidak pernah dipersetujui semasa pembentukan Malaysia.

“Kami tidak akan berikan peluang. Perlembagaan Persekutuan mesti dipertahankan,” kata ketua pemudanya, Tan Keng Liang. – 12 Mei, 2014.

-The Malaysian Insider

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");