Kelihatan mayat Chew Fui Yen terbaring berhampiran lori balak:-
ROMPIN – Mayat seorang lelaki ditemui terbaring berhampiran sebuah lori balak di tepi jalan menghala keluar dari Matau Balak dekat Hutan Simpan Lesung, Rompin petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Johari Jahaya berkata, mayat Chew Fui Yen, 64, merupakan seorang pemandu lori balak itu ditemui orang awam sekitar jam 4.45 petang.
“Polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai penemuan mayat tersebut manakala hasil siasatan awal, mangsa disyaki mati akibat terkena serangan jantung.
“Bagaimanapun mayat mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk proses bedah siasat,” katanya.
Menurut Johari, pemeriksaan awal ke atas mayat itu turut mendapati tiada sebarang tanda-tanda unsur jenayah yang berlaku.
“Doktor yang terlibat dalam proses bedah siasat yang dijalankan bermula jam 10.30 pagi tadi (semalam) dan berakhir kira-kira sejam kemudian mengesahkan kematian berpunca daripada kegagalan jantung untuk berfungsi,” katanya.
– Sinar Harian