Jenayah

Tidak akan berkompromi

tidak kompromi

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan menarik balik lesen pusat rawatan kecantikan dan kesihatan (spa) atau pusat urut yang menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

Exco Kerajaan Negeri,  Datuk Abdul Latif  Bandi berkata, pihaknya tidak sesekali berkompromi malah turut mengambil tindakan tegas kepada pusat kecantikan yang menyalahgunakan lesen.

Menurutnya, pemantauan akan dijalankan dengan lebih kerap bagi mengelakkan lesen disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab dengan berselindung di sebalik perniagaan berunsurkan maksiat.

“Kita turut menerima makluman terdapat pusat kecantikan yang menyalahgunakan  lesen  dengan melanggar syarat apabila menawarkan perkhidmatan urutan batin selain kegiatan pelacuran.

“Bagi tujuan membanteras kegiatan ini, kita turut mengadakan pemantauan dan pemeriksaan secara bersepadu membabitkan beberapa agensi  kerajaan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), polis dan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij),” katanya  pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Kempen Anti-Litter Bandaraya Johor Bahru di Legaran Segget, di sini, semalam anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA).

Katanya, kerajaan negeri akan segera mengambil tindakan sekiranya terdapat laporan mengenai pelanggaran syarat, selain melakukan kesalahan mengupah warga asing tanpa permit atau kelulusan yang sah.

Abdul Latif, berkata selain daripada membuat operasi secara bersepadu, kerajaan negeri juga turut mengetatkan syarat khas bagi mendapatkan lesen bagi perniagaan terbabit.

“Setiap pengusaha atau peniaga yang mahu membuka pusat urut atau spa ini, mereka perlu melalui proses saringan ketat termasuk sesi temuduga khas, sebelum lesen perniagaan jenis terbabit dikeluarkan.

“Sesi temuduga ini akan mengkhususkan terhadap lokasi yang akan dibuka, jumlah pekerja serta senarai permit pekerja asing sekiranya mereka mengupah warga asing sebagai tukang urut.

Ia adalah antara kaedah yang diguna pakai bagi mengekang masalah ini daripada terus berleluasa,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");