Isu Panas

Tindakan MCA tidak wajar

hudud

SHAH ALAM – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, melihat tindakan MCA yang mahu DAP dan PKR menentang Pas melaksanakan hudud di Kelantan sebagai usaha kurang bijak.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abd Manan berkata, ia memberikan pandangan negatif parti itu kepada rakyat apabila membuat kenyataan tanpa memahami hukum tersebut.

Menurutnya, Pas masih dalam kajian untuk laksanakan hukum itu. Oleh itu, kenyataan untuk menolak hudud, terutama daripada bukan Islam, adalah tidak wajar.

“Pas sedang memperkemas apa yang perlu dibentang di Parlimen. DAP dan PKR pula masih mahu berbincang dengan Pas.

“Saya rasa Pas juga pastinya mengambil sikap berhati-hati untuk bentangkan hudud di Parlimen kerana matlamatnya bukan untuk ditolak,” katanya.

Beliau berkata, tidak timbul isu keliru dengan undang-undang yang bakal dilaksanakan itu kerana sebelum ini juga telah ada undang-undang berkaitan adat digunakan dan ia tidak menjadi masalah.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, rundingan meja bulat pelbagai pihak membincangkan isu hudud perlu dilakukan terlebih dahulu.

“MCA sepatutnya berlapang dada kerana hukuman ini tidak terus terlaksana esok, tetapi memakan masa yang lama.

“Perbincangan bersama adalah cara terbaik bagi mengelak salah faham ini terus menjadi spekulasi sehingga menimbulkan gambaran negatif kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad  berkata, MCA juga harus mencari kefahaman terperinci mengenai hudud sebelum menolaknya.

“Hudud ada banyak kebaikannya jika dilaksana. Justeru, orang bukan Islam perlu mencari agamawan yang arif mengenai hukum ini untuk mendapatkan penerangan terperinci,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");