Berita Hari Ini

TNB tidak lupakan golongan tidak bernasib baik

tnb

TUMPAT – Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menyiapkan pembinaan dan pembaikan 10 rumah kepada penerima yang layak di negeri ini melalui Projek Baiti Jannati tahun ini.

Pengurus Besar TNB Kelantan (Bahagian Pembahagian) Md Yuslan Yusof berkata ia dilaksanakan susulan saranan supaya Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) memainkan peranan membantu kerajaan membaiki kediaman golongan tidak berkemampuan.

“Bagi tahun ini, 10 projek pembaikan dan pembinaan baharu dilaksanakan di negeri ini dan rumah pertama yang disiapkan adalah di Tumpat. Sembilan lagi dalam proses pembinaan.

Projek yang menelan belanja RM500,000 dengan anggaran peruntukan RM50,000 bagi sebuah rumah itu dijangka siap sepenuhnya sebelum Aidilfitri nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan rumah kepada seorang penerima di Kampung Kebun, Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Majlis penyerahan rumah kepada Mat Roni Jaafar, 39, disempurnakan Ketua Jajahan Tumpat, Mohd Sobri Ramli.

Selain rumah, beberapa persatuan dalam TNB turut menyumbang alat kelengkapan rumah seperti perabut dan barangan elektrik.

Sementara itu, Mat Roni berkata rumah baharunya itu terlalu besar maknanya buat beliau sekeluarga yang sebelum ini tinggal di sebuah rumah usang milik keluarganya.

“Saya tidak pernah menyangka akan mendapat bantuan seperti ini. Saya benar-benar bersyukur dan gembira melihat keceriaan tiga anak saya ketika melangkah masuk ke rumah baharu kami yang jauh lebih selesa.

“Kegembiraan berganda juga buat kami sekeluarga yang akhirnya mendapat bekalan elektrik sejak tiga bulan lalu, selepas 16 tahun menjalani kehidupan tanpa elektrik,” katanya.

Sejak Projek Baiti Jannati diperkenalkan di Kelantan pada 2008, 11 rumah telah dibaiki melibatkan kos RM260,000.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");