Membawang Hari Ini

Uji Rashid Beri Inspirasi Aizat Amdan Buat Album Piring Hitam

Idea album ‘Legasi’ dalam bentuk piring hitam merupakan inspirasi daripada piring hitam milik penyanyi Uji Rashid:-

KUALA LUMPUR: Penyanyi Aizat Amdan mengakui idea untuk album terbaharunya berjudul Legasi dalam bentuk piring hitam selepas mendapat inspirasi daripada piring hitam milik penyanyi Uji Rashid daripada koleksi ibu bapanya.

Aizat, 25, berkata, gambar penghias dan piring hitam tersebut dilihat sangat unik sehingga menarik perhatian untuk mengeluarkan piring hitamnya sendiri.

“Saya memilih piring hitam sebagai album Legasi ini kerana terinspirasi daripada piring hitam kepunyaan penyanyi Uji Rashid sehingga berhasrat untuk memilikinya sendiri.

“Lagi pula piring hitam ini memberi kelainan untuk album terbaharu saya yang mana hanya dijual sebanyak 222 unit sahaja melalui dalam talian,” katanya pada sidang media pelancaran album terbaharunya berjudul Legasi, Coliseum Cafe, di sini, Selasa.

Dalam pada itu, Aizat berkata, album dalam bentuk piring hitam itu dijual secara dalam talian dengan bidaan bermula RM150 di laman web www.legasi.kge.com.my.

Album tersebut memuatkan lima buah lagu duet bersama rakan-rakan artis seperti Noh Salleh, Yuna dan Zee Avi termasuk sebuah lagu baharu bersama Azlan and The Typewriter berjudul Catwalk Ke Balai.

“Kita mula buka bidaan pada hari ini (Selasa) dengan harga bermula RM150 yang mana itu merupakan harga kos pembikinan piring hitan itu.

“Bukan itu sahaja, malah kita juga sertakan dengan beberapa item dalam bungkusan istimewa yang pasti membuat pembeli berpuas hati,” ujarnya.

Sementara itu, Aizat berkata bagi peminat yang tidak berjaya mendapatkan piring hitam itu, mereka masih boleh membelinya dalam bentuk digital di Itunes.

Dalam pada itu, Aizat mengakui proses pembikinan piring hitam yang dilakukan di German mengambil masa yang lama dengan kos yang agak tinggi membataskannya untuk mencetak dengan jumlah yang banyak.

“Kita hantar proses pembikinan piring hitam di German dan ia mengambil masa agak lama dengan melibatkan kos yang tinggi.

“Disebabkan itu kita hanya buat sebanyak 250 cetakan sahaja dan jual 220 sementara selebihnya sebagai simpanan,” ujarnya.

Album Legasi turut memuatkan lagu Dwihati bersama Yuna, We’ll Be Happy bersama Zee Avi dan In Love With You bersama Noh Salleh.

– mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");