Sayap Wanita UMNO terutamanya dari Perak menyuarakan sokongan kepada jentera Barisan Nasional (BN) sebagai persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan yang bakal diadakan pada 31 Mei ini.
Menurut Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, kesemua sayap wanita di semua peringkat bakal memberi sokongan kepada jentera parti untuk menarik sokongan pengundi di kawasan tersebut.
“Pada pilihanraya lepas pembangkang telah diberikan peluang untuk melakukan perubahan tetapi semua itu tidak terjadi,” katanya.
Jelasnya lagi, pengundi kini mempunyai hak untuk memberi sokongan kepada BN untuk menyambung kesinambungan dan memperkasakan kerajaan yang sedia ada.
Tambahnya lagi, pengundi perlu membuat perubahan dengan menyokong kepimpinan BN berikutan kegagalan pihak pembangkang amnya untuk melaksanakan pembangunan dan janji mereka kepada rakyat.
Sementara itu, beliau turut menyifatkan peluang sama rata antara calon yang bertanding dalam persaingan PRK Teluk Intan.
“Kita tetap akan menggunakan pendekatan lawatan dari rumah ke rumah untuk menjelaskan mengenai perjuangan yang dibawa oleh BN dan UMNO,” kata beliau dalam satu sidang media di Teluk Intan, hari ini.
Terdahulu, Shahrizat melawat Pusat Khidmat ADUN Changkat Jong, Datuk Azhar Jamaluddin di Taman Nanas.
Tambah beliau lagi, perubahan mengenai sokongan pengundi terhadap BN terutamanya di kawasan pembangkang turut menunjukkan petanda yang positif.
Sayap Wanita UMNO ujarnya, bukan sekadar membantu untuk meraih undi di kalangan wanita sahaja tetapi juga meraih sokongan semua pengundi.
“Wanita UMNO merupakan tulang belakang kepada parti dan keberkesanannya terbukti pada pilihan raya kecil Kuala Besut, Sungai Limau dan Kajang lalu,” katanya.
Katanya lagi, sayap Wanita UMNO amnya akan terus mempergiatkan usaha dan bertungkus lumus untuk memberikan peluang dan kejayaan kepada calon BN.
“Ini bukan hanya retorik semata-mata dan kaedah mendekati pengundi secara bersemuka yang kita lakukan disambut baik oleh pihak pengundi,” ulasnya lanjut.