Berita Hari Ini

1,000 menara telekomunikasi dibina dalam 3 tahun

ahmad shabery

KUALA LUMPUR – Seribu menara telekomunikasi akan dibina di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun bagi mencapai kelajuan perkhidmatan jalur lebar antara 48 mbps (megabit sesaat) hingga 50 mbps menjelang  2018, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Katanya berbanding dengan Myanmar dan Vietnam yang hanya mencapai kelajuan sekitar 5.6 hingga 5.7 mbps, negara ini mencatat kelajuan antara 5.8 hingga 5.9 mbps pada masa sekarang berdasarkan kajian ‘ujian kelajuan’ yang dibuat The Ookla Global Net Index.

“Kita tahu bahawa tiga hingga empat tahun lepas, kelajuan sebanyak 1mbs sudah mencukupi dan sambutan menggalakkan daripada syarikat yang menawarkan harga RM140 hingga RM144 untuk mendapatkan kelajuan internet satu atau dua mbps.

Namun pada zaman sekarang kelajuan 20 mbps adalah tidak mencukupi kerana penggunaan internet sangat luas bukan sahaja untuk layari google, malah juga untuk pengangkutan, pendidikan, kesihatan serta pelbagai bidang lagi yang memerlukan kelajuan internet jalur lebar yang baik, ” katanya ketika menjawab soalan Khoo Soo Seang (BN-Tebrau) di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Khoo ingin mengetahui tentang rancangan kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan jalur lebar di negara ini dan sebab kelajuan jalur lebar di Malaysia hanya di tempat ke-126 antara 196 buah negara yang dikaji.

Ahmad Shabery berkata dengan pembinaan menara telekomunikasi di bawah projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) melalui kerjasama kerajaan dengan syarikat swasta, sekurang-kurangnya 95 peratus rakyat dapat menikmati faedah kelajuan jalur lebar itu.

“Di bawah HSBB, sasaran kelajuan bandar-bandar utama iaitu setinggi 100mbps dan sekurang-kurangnya 20 mbps untuk penduduk sekitar kawasan pinggir bandar,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");