Perak Hari Ini

129 Mangsa Banjir Di Kampar Terima Bantuan

Kerajaan negeri mengagihkan bantuan peringkat pertama berjumlah RM20,200 kepada kira-kira 129 keluarga yang terbabit dengan banjir, baru-baru ini.

Kesemua mangsa banjir itu adalah penduduk dari sembilan kampung di sekitar Kampar antaranya Kampung Baru Kuala Dipang, Kampung Batu 20, Kampung Kuala Dipang, Kampung Jeram dan Kampung Sahom.

Bantuan itu disampaikan oleh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional negeri, Datuk Rusnah Kassim di Dewan Datuk Azman Mahalan, dekat Kampar, semalam.

Rusnah menjelaskan, bantuan peringkat kedua akan disalurkan kepada mangsa banjir berdasarkan kepada laporan polis berkaitan kerugian yang dialami mereka.

Kadar bantuan yang akan diagihkan kelak berjumlah antara RM1,000 hingga RM5,000, katanya lagi.

Untuk peringkat pertama, penerima mendapat bantuan antara RM100 hingga RM300 bagi meringankan beban mereka selepas mengalami kerosakan dan kerugian harta benda ekoran banjir pada awal pagi 4 Jun lalu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Datuk Mah Hang Soon dan ADUN Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan.

Awal pagi 4 Jun lalu, ratusan penduduk kampung di sekitar terpaksa dipindahkan ke dewan SMK Seri Kampar selepas kawasan penempatan mereka dinaiki air akibat hujan lebat.

Hujan lebat yang turun sehari sebelum itu mengakibatkan air Sungai Kampar dan Sungai Dipang melimpah lalu mengakibatkan banjir di kawasan berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sempat melawat lokasi banjir dan mangsa yang ditempatkan di dewan sekolah terbabit sebelum mengumumkan kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada penduduk yang terjejas dengan kejadian itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");