Berita Hari Ini

ADC cemerlang pastikan kemajuan kampung

shafie apdal

KUALA LUMPUR – Penganjuran Anugerah Desa Cemerlang (ADC) yang merupakan satu daripada aktiviti utama di bawah Gerakan Daya Wawasan, dilihat berperanan bukan sahaja memastikan kemajuan serta pembangunan di kampung, malah turut menekankan aspek bagi melahirkan masyarakat serta kepimpinan berkualiti.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pertandingan ADC adalah usaha kementerian sejak tahun 1980-an yang menumpukan ke arah memajukan fizikal kampung termasuk penduduk kampung itu sendiri.

Menurutnya, kriteria kampung yang layak menyertai ADC adalah kampung terletak bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) serta kampung di bawah penempatan semula yang mempunyai JKKK/JKKKP.

Beliau berkata, pertandingan itu sangat bererti kerana boleh menjadi contoh serta mentor kepada kampung-kampung lain dalam usaha pengupayaan kepimpinan sosial dan ekonomi kampung.

“Ia juga sebagai satu pendekatan untuk kita tekankan kecemerlangan secara komprehensif merangkumi aspek ekonomi, kesihatan, pendidikan selain mahu kampung-kampung mempunyai kemudahan infrastruktur asas.

“Kita juga menitikberatkan aspek kepimpinan di peringkat kampung kerana kepimpinan yang baik, mantap boleh membawa perubahan serta melahirkan kampung yang mapan dan dinamik,” katanya.

Mohd Shafie berkata, bagi ADC tahun 2013 sebanyak 14 kampung yang mewakili 14 negeri terpilih selepas menjuarai ADC di peringkat negeri untuk bertanding di peringkat kebangsaan.

Katanya, hadiah ditawarkan bagi johan pertandingan adalah wang tunai berjumlah RM25,000 dan hadiah projek ekonomi sebanyak RM200,000, naib johan membawa pulang tunai RM20,000 berserta hadiah projek ekonomi berjumlah RM150,000, manakala pemenang tempat ketiga memperoleh tunai RM15,000 berserta hadiah projek ekonomi bernilai RM100, 000.

“Penduduk kampung boleh memanfaatkan hadiah kemenangan untuk apa sahaja keperluan semasa kampung mereka, kerana kita tidak menetapkan sebarang panduan perbelanjaan.

“Bagai hadiah projek ekonomi, penduduk kampung perlu mempunyai cadangan projek/aktiviti ekonomi yang ingin diwujudkan atau ditambah baik berdasarkan keperluan yang mampu menyumbang kepada pengurusan kewangan kampung lebih baik serta dana kewangan yang lebih terjamin,” katanya.

Dalam pada itu katanya, majlis penyampaian hadiah ADC 2013 disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan berlangsung hari ini di kampung Parit Haji Ali, Batu Pahat, Johor.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");