Jenayah

Ajal dihempap tiang

tahanan mati

Kuantan: “Penunggang motosikal itu tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang lori membawa muatan air batu menyebabkan dia tercampak dari motosikalnya dan dihempap tiang lampu yang patah,” kata Abdul Shukor Azid, 47, yang melihat kemalangan mengorbankan bekas pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, Mohd Arif Mustafa, 23, dari Kampung Gelugur, Haji Tahir, Kemaman, Terengganu, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal berkuasa tinggi jenis Naza Blade ditunggangnya merempuh belakang lori berkenaan.

Abdul Shukor berkata, dia dalam perjalanan ke Gambang dari Semambu, melihat mangsa memotong kenderaan dipandunya sebelum sebuah lori di depan secara tiba-tiba mengubah laluan.

Menurutnya, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang lori berkenaan menyebabkan motosikal ditunggangnya terbabas melanggar tiang lampu.

Katanya, tiang lampu berkenaan patah dan menghempap kepala mangsa mengakibatkan pendarahan teruk dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Beberapa pengguna jalan raya membantu mengalihkan tiang lampu berkenaan dan mengajar mangsa mengucap,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai tidak sempat hendak mengelak berikutan pemandu lori berkenaan mengubah laluan secara tiba-tiba.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan dada dihempap tiang lampu yang patah.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk bedah siasat dijalankan,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");