Membawang Hari Ini

Akhdan terus bersemangat perjuangkan irama nasyid

akhdan

Ketika dunia muzik nasyid seakan semakin malap, masih ada beberapa kumpulan yang terus percaya, irama itu tetap menjadi pilihan pendengar. Akhdan ialah antara kumpulan yang tegar memperjuangkan muzik nasyid di negara ini.

Pernah merakamkan album pertama kira-kira tiga tahun lalu, empat rakan baik, Tajul Arif Noor Md Shari, 15; Muhammad Affan Mazlan, 14; Ahmad Zuhair Zakaria, 15; dan Mohd Haizudin Haizad Nazri, 15, terus mengatur langkah meneruskan minat mereka dalam bidang terbabit.

Selepas muncul dengan single Kembalikan Damai Itu pada tahun lalu, kini kumpulan dari Negeri Sembilan ini tampil pula dengan lagu terbaharu, Kerna Cinta, hasil usaha sama Akhdan bersama UNIC Record.

Sibuk dengan alam persekolahan, bagaimanapun mereka sempat menyiapkan klip video lagu itu baru-baru ini. Aktiviti seni pula hanya dilakukan pada hujung minggu agar pembelajaran masing-masing tidak terganggu.

Sebagai kumpulan yang bergerak sendiri, mereka harus bijak dalam menyusun strategi agar minat dan bakat masing-masing tidak terkubur.

“Semuanya memerlukan pengorbanan yang banyak, dari segi kewangan, masa dan tenaga. Adakalanya, kami terasa seperti tewas dan ingin berundur saja daripada dunia seni. Mujurlah masih ada sisa semangat dan ketabahan untuk kami meneruskan usaha murni ini, sehingga satu detik yang ditentukan Tuhan nanti,” kata Tajul Arif.

Kumpulan ini juga akur persaingan dengan kumpulan lebih dewasa dan berpengalaman ada masanya membimbangkan mereka. Tetapi, ia tidak menghalang anggotanya untuk terus berusaha menghasilkan lagu yang segar dan lirik berkualiti bagi memastikan Akhdan kekal bertahan dalam industri.
“Kehadiran kami bukanlah untuk bersaing, tetapi sekadar memeriahkan lagi industri hiburan tanah air. Siapalah kami untuk bersaing dengan artis senior yang jauh lebih hebat? Akhdan bagaimanapun akan tetap berusaha untuk menawan hati peminat seni dengan karya yang segar dan berkualiti,” janji Muhammad Affan.

Akhdan yang ditubuhkan sejak 2010 agak bernasib baik kerana mereka diuruskan oleh guru sendiri. Paling tidak, ada pihak yang bertanggungjawab menyusun jadual kerjaya empat anak muda ini. Bahkan, mereka juga bukan calang-calang kumpulan kerana masing-masing berpengalaman bertanding pada peringkat kebangsaan pada 2011.

Setelah beberapa tahun bergabung sebagai kumpulan nasyid, tentunya mereka turut mempunyai pengikut sendiri.

“Alhamdulillah, setakat ini Akhdan menerima maklum balas amat positif daripada penggemar kumpulan ini. Kami juga bersyukur Akhdan mempunyai pengikut tersendiri. Mereka bukan saja dari Malaysia, malah dari Indonesia, Thailand, Singapura dan beberapa negara lain. Mereka tertarik dengan mesej yang terkandung dalam karya kami,” kata Ahmad Zuhair.

Bagi memastikan nama dan perkembangan mereka sentiasa dekat di hati peminat, kumpulan ini turut aktif memuatkan berita terbaharu mereka di laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");