Membawang Hari Ini

Amyza hamil anak ketiga

amyza

Terkesan dengan insiden keguguran ketika awal kehamilan tahun lalu, Amyza Aznan enggan terlalu teruja untuk membuka mulut mengenai dirinya yang sedang hamil anak ketiga.

Cukup katanya, sekadar berkongsi beliau bakal bersalin anak lelaki tahun ini, selebihnya Amyza selesa menyimpannya sebagai kisah peribadi yang tidak perlu diketahui orang luar.

“Dulu saya terlalu mengharap dan apabila disahkan mengandung, saya teruja bercerita. Apabila kandungan itu gugur, saya jadi murung dan sedih kerana impian untuk menimang cahaya mata tidak menjadi kenyataan.

“Disebabkan itu, apabila hamil semula saya bertekad untuk tidak terlalu ghairah bercerita mengenainya. Alhamdulillah, kesedihan saya dulu kini diganti Tuhan dengan berita gembira dan saya berharap perjalanan ini dipermudahkan,” katanya.

Seperti dua kehamilannya yang terdahulu, Amyza turut diuji apabila berdepan alahan teruk pada tiga bulan pertama kandungannya.

Disebabkan masalah itu, Amyza terpaksa berkorban dengan menolak tawaran berlakon selama dua bulan kerana enggan menyusahkan pihak produksi.

Terpaksa tolak tawaran

“Saya langsung tidak boleh bekerja. Tawaran masih diterima tetapi terpaksa ditolak, kecuali beberapa produksi yang terlebih awal dipersetujui.

“Bagaimana mahu bekerja kerana angin saya tidak menentu, malah saya juga tidak suka disolek. Disebabkan tidak mahu menyusahkan sesiapa, lebih baik
saya berehat dan beri perhatian kepada kandungan,” katanya.

Bersyukur kerana ujian berat itu hampir berakhir, Amyza mengakui berat badannya meningkat mendadak kerana dirinya sentiasa berselera menjamah makanan berat.

Entah kenapa, setiap kali bangun pagi, dirinya akan berasa terlalu lapar dan nasi berserta lauk pauk menyelerakan menjadi hidangan wajib ketika bersarapan.

“Saya sudah kembali bekerja, cuma kurang selesa apabila terpaksa berlakon dalam cuaca panas.

Kelakarnya penggambaran untuk babak membabitkan saya terpaksa dihabiskan awal kerana saya tidak betah lagi menunggu lama di lokasi.

“Pernah sekali, saya bergegas pulang menjelang tengah malam kerana tidak selesa di lokasi penggambaran. Mujur produksi memahami dan sabar layan kerenah saya. Mereka tidak ambil hati dengan tindakan saya itu,” katanya.

Ketika mengandung dua anak lelakinya sebelum ini, Amyza mengakui terkilan apabila tidak dapat berpuasa kerana berdepan alahan teruk.

Cuba lengkap puasa

Kali ini, anak kelahiran Alor Gajah, Melaka itu menyimpan niat untuk melengkapkan puasa seandainya tahap kesihatannya mengizinkan.

“Melihat wanita hamil lain berpuasa, saya jadi cemburu. Disebabkan itu, saya memasang niat untuk cuba juga berpuasa.

“Meskipun diberi kelonggaran, tetapi saya tidak mahu kehamilan menjadi alasan untuk saya sengaja meninggalkan puasa. Semua itu bergantung kepada tahap kesihatan, insya-Allah,” katanya.

Ramadan ini, Amyza akan kembali sibuk untuk menyudahkan penggambaran drama rantaian, Dosa Seorang Suami yang akan menghiasi slot Azalea di TV3, pada musim Aidilfitri nanti.

Amyza tidak menafikan, sepanjang bergelar pelakon, Dosa Seorang Suami memberikannya cabaran terbesar kerana sentiasa diburu perasaan takut setiap kali ke lokasi penggambaran.

“Bukan tidak pernah saya bawa watak antagonis, tetapi kali ini sedikit berbeza kerana ia menyentuh aspek agama. Saya tidak mahu tersalah langkah dan kesannya, akan menimbulkan kontroversi apabila disiarkan kelak,” katanya.

-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");