Jenayah

Anak minum susu pekat manis

Asmawati memangku anak bongsunya yang hanya diberikan susu pekat manis dan anak keduanya di rumah mereka di Kampung Tengah:-

KUALA KRAI – Ketika umat Islam sibuk membuat persiapan Ramadan, sebuah keluarga di Kampung Tengah dekat sini, hanya menunggu hari yang dinanti-nantikan ini tanpa sebarang persediaan.

Kesempitan hidup, ditambah pula dengan masalah kesihatan ditanggung Asmawati Samsudin, 29, menyebabkan hari-hari dilaluinya sepanjang Ramadan sama sahaja seperti hari biasa.

Baginya tiada istilah makanan istimewa sebagai juadah berbuka puasa, kerana apa yang ada untuk mengisi perut mereka anak-beranak, itu sudah cukup membuatkannya bersyukur.

“Puasa, raya atau hari biasa tetap sama bagi kami, cuma jika berkemampuan dapatlah belikan pakaian untuk anak-anak,” kata wanita tabah ini yang menghidap sakit saraf sejak lebih 15 tahun lalu.

Asmawati dan suami, Zalani Mohamad, 36, lebih mengutamakan keperluan harian mereka enam beranak, berbanding keperluan menyambut Ramadan dan Syawal.

Menurutnya, perbelanjaan keperluan harian mereka bergantung sepenuhnya daripada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM300 sebulan.

“Pendapatan suami yang bekerja di kilang kayu tidak menentu, bergantung kepada keadaan, namun kami bersyukur kerana walaupun hidup susah, anak-anak tidak banyak karenah.

“Empat anak kami, Mohammad Ameer Aiman, 9; Nurul Kyra Azureen, 6; Nurul Ameera Damia, 3; dan Nurul Syazleen Humairah, 2, seolah-olah memahami kesusahan kami. Keadaan ini menyebabkan mereka lebih matang daripada usia apabila anak kedua rajin membantu saya melakukan kerja rumah,” katanya yang terpaksa melakukan kerja rumah dalam keadaan mengengsot.

Lebih menyedihkan katanya, apabila anak bongsunya hanya diberikan susu pekat manis kerana tidak mampu membeli susu tepung.

“Itu sahaja yang dapat saya berikan jika dia menangis mahu susu. Walaupun hati hiba tapi apakan daya saya tidak mampu.

“Namun, kami masih ada tempat berteduh tetapi setiap kali hujan lebat, air akan masuk dalam rumah.

“Ini menyebabkan luka di lutut akan merebak dan berlaku jangkitan kuman kerana air kotor terkena bahagian ini,” katanya yang sayu mengenangkan masa depan anak-anaknya.

Sehubungan itu, Asmawati merayu bantuan membaik pulih rumahnya.

“Saya risau bila hujan lebat atau musim banjir. Saya kerap bergerak menggunakan lutut yang luka (berlubang), bila basah luka makin teruk dan bimbang berlaku jangkitan kuman,” katanya yang sudah hilang deria rasa sehinggakan tidak merasai sakit walaupun terkena air panas.

Bantuan boleh dihulurkan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (0300541000088062 – Asmawati) atau menghubungi ditalian 011-25765257.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");