Membawang Hari Ini

Anuar Zain & peminat ke timur tengah

anuar bercuti

Saban tahun selepas menumpukan sepenuh perhatian pada kerjaya, sekurang-kurangnya tiga minggu pelantun Lelaki Ini memanfaatkan waktu untuk menikmati keindahan dunia luar sebagai proses meditasi minda dan pulang bersama semangat serta idea baru.

Jika pada tahun sebelumnya dia melancong dalam kumpulan yang kecil bersama teman rapat atau sendirian, tahun ini penyanyi lelaki tersohor negara yang tidak perlu diperkenalkan lagi siapa gerangannya ini merancang untuk mengadakan percutian bersama peminat.

Magical Jordan With Anuar Zain adalah aktiviti terkini Anuar Zain yang diuar-uarkan Selasa lalu, menerusi satu sidang media yang dilangsungkan di Restoran Songket, Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur.

“Saya sering menghiburkan peminat pada persembahan pentas dan kali ini saya ingin mencetuskan sedikit kelainan dengan mengundang mereka untuk bercuti bersama saya ke Jordan.

“Mengapa Jordan? Saya suka mengembara melihat sejarah, budaya dan seni bina sesebuah negara. Jordan antara negara yang belum saya lawati. Namun, kisah sejarah serta keindahan negara itu sering saya dengar. Kalau ikutkan, keinginan untuk ke sana sudah lama tersimpan, tetapi sering saja tidak ada kesempatan.

“Alhamdulillah, kali ini jalannya lebih mudah dan paling bermakna akan disertai peminat saya,” kata pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain, 44.

Anuar menambah, percutian yang dirancang pada November itu dianjurkan bersama Scenic Leisure & Event, FBA Media Sdn Bhd dan Anuar Zain Network Sdn Bhd. Pakej percutian 7 hari 5 malam itu bernilai RM9,999, terhad kepada 250 peminat.

Ditanya, adakah jumlah itu tidak membebankan atau terlalu mahal untuk peminatnya, penghibur kelihatan 15 Februari 1970 itu, berkata pakej yang diperkenalkan adalah berpatutan.

“Saya tidak rasa pakej itu mahal kerana kita menyediakan penginapan lima bintang, kemudahan pengangkutan, makan-minum di restoran terbaik sepanjang seminggu berada di sana.

“Lokasi menarik bakal dikunjungi antaranya tapak warisan seperti Petra, Jerash dan Amman Citadel, pasti memberi pengalaman baru yang menakjubkan. Paling menarik, keunikan Laut Mati juga bakal dinikmati oleh peminat yang bercuti bersama saya.

“Di setiap lokasi bersejarah, artifak serta mercu kebanggaan Jordan yang dikunjungi nanti, saya akan memperuntukkan lebih dua jam untuk merakamkan foto kenangan bersama peminat.

“Pada malam terakhir saya akan menghiburkan mereka menerusi mini ‘showcase’ dengan memperdengarkan lagu hit saya selama satu jam,” katanya.

Ditanya, apakah mempunyai perancangan untuk mengadakan fasa kedua percutian bersama peminat dengan memperkenalkan pakej yang lebih murah memandangkan Magical Jordan With Anuar Zain ini, hanya sesuai untuk golongan yang benar-benar berkemampuan saja, Anuar tidak menolak kesinambungan aktiviti seperti ini pada masa akan datang.

“Saya merasakan ia satu idea yang baik. Bagaimanapun, sebelum melaksanakannya sudah tentu saya mahukan satu percutian yang indah dan hebat dapat dinikmati peminat sekalipun ia percutian yang murah,” katanya.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");