Jenayah

‘Arwah pendiam orangnya’

jenazah kemalangan

Seremban: “Saya tanya dia hendak ke mana, namun arwah abang hanya menjawab dia hendak keluar,” kata Norhalina Che Puteh, 47, adik kepada bekas pengawal keselamatan, Dzulkiflee, 50, yang maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 285.7, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, dekat Nilai, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135 LC melanggar belakang sebuah kereta Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun, menyebabkan dia tercampak beberapa meter di atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Norhalina, dia hanya mengetahui kejadian menimpa arwah selepas dihubungi ahli keluarganya yang lain jam 7.30 malam, kelmarin.

Katanya, polis sebelum itu menghubungi keluarganya memaklumkan abangnya kemalangan dan dia segera hadir ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, untuk pengecaman mayat.

“Arwah abang pendiam, namun rapat dengan semua ahli keluarga.

“Sebelum kejadian, arwah tidak menunjukkan perubahan, namun kehilangannya dirasai kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik dan Bilik Mayat HTJ, di sini, semalam.

Menurutnya, jenazah abangnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Tuan Haji Said, Sikamat, dekat sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Abdullah Roning ketika dihubungi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dari Seremban menghala ke Kuala Lumpur melanggar belakang sebuah kereta yang mengubah haluan ke kiri.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak dari motosikal dan maut di tempat kejadian.

“Hasil bedah siasat menunjukkan mangsa cedera parah di bahagian dalaman badan selain patah kedua-dua pergelangan tangan,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");