Perak Hari Ini

‘Banjir Terburuk Pernah Berlaku Di Chenderiang’: Mangsa

“Banjir kali ini paling buruk pernah terjadi di kawasan ini kerana air naik begitu mendadak,” kata Mohd Naim Kufrun, salah seorang mangsa banjir kilat di Taman Seri Chenderiang, dekat Tapah, malam tadi.

Beliau yang juga ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) taman itu menegaskan kejadian itu kali pertama yang berlaku di kawasan berkenaan.

“Ini kejadian pertama berlaku dan banjir kali ini agak teruk kerana air naik mencecah hampir 1 meter.

“Banjir ini disebabkan air Sungai Chenderiang melimpah akibat hujan lebat,” katanya.

Mohd Naim adalah antara 30 keluarga di Taman Seri Chenderiang, dekat yang terlibat dalam kejadian banjir kilat, malam tadi.

Seorang lagi mangsa banjir dari Kampung Pasir, Ruhaini Ahmad, 64, berkata, kejadian tersebut berlaku dengan begitu pantas.

Katanya, beliau yang tinggal bersendirian ketika itu terpaksa meminta bantuan daripada orang lain.

“Kejadian itu begitu pantas dan saya tak sempat nak selamatkan barang-barang yang ada.

“Banjir ini terjadi akibat saluran longkang tersumbat dan hujan lebat yang turun semalam,” katanya lagi.

Suaminya, Mohd Idris Mohd Saman, 70, berkata, banjir tersebut menyebabkan mereka sekeluarga mengalami kerugian.

“Tiada barang yang dapat diselamatkan dan saya harap pihak yang berkenaan sudi menghulurkan bantuan untuk membantu kami,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tapah, Datuk M Saravanan, berkata bantuan segera akan diberikan kepada mangsa yang terlibat dalam kejadian banjir kilat itu.

“Bantuan segera daripada segi makanan akan diberikan secepat mungkin dan bantuan kewangan pula akan disampaikan esok (Jumaat),” katanya.

Beliau juga telah meminta bantuan daripada agensi berwajib untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Kita minta agar gensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengambil tindakan segera kerana banjir kali ini dikatakan berpunca daripada saluran air yang tersumbat di sungai berhampiran,” tambahnya.

Beliau turut mengulas berkenaan bantuan kerajaan kepada pemilik tanah persendirian kerana terdapat mangsa yang mempersoalkan bantuan kerajaan tidak sampai ke kawasan persendirian miliknya.

“Situasi sebegini memang biasa kerana kalau kita jadi mangsa pun kita akan rasa marah dan tidak puas hati.

“Tapi, kadang-kadang orang tidak faham bahawa peruntukan yang diberikan oleh kerajaan tidak boleh digunakan untuk tanah persendirian,” ujarnya lagi.

Terdahulu, beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Datuk Dr Mah Hang Soon melawat ke beberapa buah rumah di sekitar Taman Seri Chenderiang dan Kampung Pasir yang terlibat dalam kejadian banjir kilat, malam tadi.

Antara kawasan yang turut terlibat adalah Kampung Baru Chenderiang, Kampung Sahom, Kuala Dipang dan Kampung Nyior.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");