Membawang Hari Ini

Bersama keluarga lebih seronok

fazura 2

Menjadi kebiasaan setiap kali tiba Ramadan, Nur Fazura Sharifuddin gemar berbuka dan bersahur bersama keluarga di rumah. Baginya, lebih berbaloi menikmati juadah air tangan ibunya daripada makan di luar.

Hari ini adalah hari pertama umat Islam berpuasa dan ­sepanjang bulan ini, Selebriti Metro Ahad akan meninjau cerita artis bersahur dan berbuka puasa, dengan Fazura menjadi pembuka tirai ruangan ini.

Kata ­Fazura, dia terbang ke Bangkok, Thailand pada Khamis lalu dan pulang semalam semata-mata tidak mahu ‘tercicir’ menikmati juadah sahur pertama dengan keluarga.

“Sahur penting bagi saya. Dari kecil saya diajar bangun sahur. Saya jarang makan di luar sebab bagi saya, makan di rumah bersama keluarga lebih seronok.

“Lebih bermakna kali ini saya ada anak saudara, Adelia. Walaupun tinggal berasingan, harap kami dapat selalu bersahur dan berbuka sama-sama,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai juadah pilihan untuk ­bersahur, Fazura nyata tidak memilih. Katanya, cukup hanya dengan ikan dan telur goreng dinikmati bersama nasi panas. Itu ­sudah cukup menyelerakan bagi­nya.

“Biasanya saya dan mama akan panaskan semula lebihan juadah berbuka. Kalau habis, kami akan masak hidangan ringkas seperti ikan atau telur goreng dan sayur.

“Paling saya suka kalau ada ikan tenggiri masin. Itu pelengkap segala makanan. Orang dulu-dulu cakap, siapa kahwin dengan saya jimat sebab saya ringkas bab makan. Nasi kosong dengan ikan tenggiri masin goreng dah cukup,” katanya riang.

Kenangan bersahur paling indah bagi Fazura ketika arwah bapanya masih hidup. Bapanya bukan suami dan bapa cerewet. Apa yang dihidang akan dimakan dengan berselera.

Ketika menikmati juadah, bapanya suka berborak panjang sambil bertanya perkembangan anak.

“Papa orangnya ringkas macam saya. Papa tak minta dimasakkan itu ini, apa mama sediakan, dia akan makan. Dia suka semua masakan pedas, lebih-lebih lagi patin masak tempoyak.

“Walaupun papa sudah tiada, saya bertuah kerana masih ada mama dan adik-beradik. Keluarga jadi keutamaan saya dan merekalah kebahagiaan saya,” katanya yang akan ke London atas urusan kerja dalam waktu terdekat.

Fazura juga dipilih memegang watak utama filem terbaru arahan Osman Ali, Langit Cinta yang akan memulakan penggambaran selepas Aidilfitri.

Anak jati Pekan, Pahang ini teruja diberi peluang ­menghidupkan gadis kampung bernama Khadija. Katanya, bukan tidak pernah bawa watak gadis kampung, tetapi kali ini dapat rasakan betul-betul seperti orang kampung.

“Kalau ikut penjelasan abang Osman, dalam filem ini saya langsung tak bersiap. Sudah lama saya teringin watak comot, tak payah bersolek,” katanya yang akan terbabit dengan satu lagi filem.

Selain itu Fazura akan memperkenalkan lima koleksi terhad raya House of Doll buat kali pertama. Lima rekaan itu yang diberi nama Lovelia, Dasia, Irys, Callina dan Viioletta diinspirasikan daripada bunga-bungaan yang melambangkan kelembutan wanita Melayu.

Koleksi istimewa rekaannya ada di butik House of Doll pada minggu pertama Ramadan.

-METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");