Sukan Hari Ini

Chong Wei ada kelas!

chong wei

Kuala Lumpur: Jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei terus mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama merangkul kejuaraan Siri Super Terbuka Jepun buat kali ketiga berturut-turut.

Chong Wei yang diletak sebagai pilihan utama muncul juara apabila tidak berdepan masalah menewaskan pemain Hong Kong, Hu Yun 21-14, 21-12.

Kemenangan di Gimnasium Metropolitan Tokyo itu menjadikan jumlah keseluruhan kejuaraan Terbuka Jepun diraih Chong Wei sebanyak lima kali.

“Saya sangat gembira menang kejuaraan ini lima kali dan juga puas hati dengan corak permainan sepanjang minggu ini.

“Sekarang tumpuan saya untuk melakukan perkara sama menjelang Siri Super Premier Terbuka Indonesia minggu depan (esok),” katanya.

Selain muncul juara 2012 dan tahun lalu, pemain ranking nombor satu dunia itu juga pernah mengungguli takhta pada 2007 dan 2010.

Kemenangan ke atas pemain pilihan kelapan itu juga menjadikan Chong Wei gah melakar rekod tahun ini dengan mara ke perlawanan akhir sebanyak enam kali dan muncul juara empat kali.

Keempat-empat kejuaraan itu membabitkan Siri Super Premier Terbuka Malaysia, All-England, Siri Super Terbuka India dan terkini Terbuka Jepun.

Mengimbas kembali perlawanan akhir yang berlangsung selama 34 minit itu, Chong Wei nyata menguasai pertemuan dengan Hu Yun yang tidak begitu mencabar.

Bagaimanapun, pemain ranking ke-15 dunia itu sudah mencuba sedaya upaya untuk menyekat Chong Wei terutama pada set kedua namun ternyata pemain kelahiran Bagai Serai, Perak itu berada dalam kelas tersendiri.

Kemenangan itu membolehkan Chong Wei membawa pulang trofi dan wang tunai AS$18,750 (RM60,346).

Trofi disampaikan Duta Malaysia ke Jepun Datuk Shaharuddin Md Som.

Sementara itu dalam pertarungan beregu lelaki, pasangan Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong mengejutkan pilihan pertama, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia apabila menang 21-12, 26-24.

Juara perseorangan wanita milik Li Xuerui dari China yang menumpaskan pemain Taiwan, Tai Tzu Ying 21-16, 21-6 manakala beregu wanita menyaksikan Misaki Matsutomo-Ayaka Takahash dari Jepun menumbangkan rakan senegara, Reika Kakiiwa-Miyuki Maeda 21-13, 21-17.

Beregu campuran memperlihatkan pasangan China, Zhang Nan-Zhao Yunlei muncul juara selepas menang 21-12, 21-16 ke atas pasangan Jerman, Michael Fuchs-Birgit Michels.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");