PARIT BUNTAR – Sebuah stor menyimpan diesel di Sungai Gedong, Bagan Serai, di sini, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Parit Buntar menerusi Operasi Titik, 12 Jun lalu.
Serbuan dijalankan anggota KPDNKK diketuai Abdul Halim Art berjaya menahan dua lelaki tempatan dan menyita sebuah lori serta sebuah kereta diubah suai.
Turut dirampas, 6,700 liter diesel dari dua kenderaan terbabit dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM49,900.
Ketua KPDNKK Cawangan Parit Buntar, Abdul Rahman Yang Mohd Yusof berkata, sepasukan pegawai penguat kuasa menjalankan Ops Titik bagi membanteras penyelewengan minyak diesel di sekitar Kerian.
Menurutnya, operasi pada awalnya tertumpu di stesen minyak sebelum berjaya mengesan aktiviti pembelian diesel mencurigakan hasil risikan dua minggu.
“Pemandu lori berkenaan membuat pembelian diesel menggunakan pam yang diisi melalui tangki lori sebelum disedut ke tangki plastik atas lori dan bahan api itu diisi dari satu stesen ke stesen lain.
“Berdasarkan maklumat itu, anggota KPDNKK Parit Buntar membuat serbuan ke atas satu stor menyimpan diesel di kawasan Sungai Gedong, Bagan Serai,” katanya kepada media, di sini, semalam.
Abdul Rahman berkata, seorang lelaki disyaki suspek ditahan dalam serbuan itu dan turut menyita sebuah kereta diubahsuai yang membawa 700 liter diesel bersama tiga tong.
“Hasil soal siasat ke atas lelaki itu, kita berjaya menahan seorang lagi suspek di persimpangan lampu isyarat Simpang Lima, Parit Buntar kira-kira sejam kemudian pada hari sama.
“Hasil penahanan suspek kedua membolehkan KPDNKK menyita sebuah lori dan 6,000 diesel dalam tangki plastik yang disembunyikan dalam kenderaan berkenaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki diesel untuk tujuan melakukan kesalahan.
Sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi kesalahan pertama.
-Sinar harian