Berita Hari Ini

El Nino: Bomba perlu peruntukan tambahan

Datuk wan mohd nor ibrahim

MELAKA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memerlukan peruntukan tambahan RM70 juta bagi membeli peralatan dan meningkatkan kualiti logistik sebagai persediaan menghadapi fenomena el Nino.

Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata perkara itu sudah diusulkan kepada kerajaan pusat dan sedang menunggu tindakan lanjut.
Peruntukan tambahan perlu memandangkan lebih banyak kebakaran hutan terutama tanah gambut dijangka berlaku sepanjang fenomena yang diramal melanda Asia Tenggara pertengahan tahun ini, katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
“Kita baru sahaja menghadapi satu musim kemarau yang agak panjang lebih kurang tiga bulan dengan lebih 15,000 kebakaran direkodkan sepanjang tempoh itu dan banyak perkara atau kekurangan yang telah dikenal pasti terutama melibatkan logistik.
“Antara peralatan kita rancang beli ialah pam mudah alih, lori serba guna bagi kegunaan hutan dan banjir serta peralatan khusus bagi memadam kebakaran hutan melibatkan tanah gambut,” katanya yang ditemui selepas menghadiri Majlis Serah Tugas Pengarah JBPM Melaka yang baharu.
Wan Mohd Nor berkata pihaknya juga merangka prosedur operasi standard dengan agensi lain sebagai langkah awal sekiranya kekuatan anggota sedia ada tidak mencukupi bagi menghadapi fenomena itu.
Mengulas perkembangan lain, beliau berkata JBPM akan melaksanakan pelbagai kajian bagi mencari kaedah terbaik dalam usaha meningkatkan kualiti serta kecekapan menyelamat dan memadam kebakaran melalui Pusat Penyelidikan Kebombaan di Enstek, Negeri Sembilan.
“Semua fasiliti bagi kajian yang akan dilaksanakan ini dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun ini agar kita tidak perlu lagi bergantung pada kajian negara luar yang kadangkala hasil dapatan kajian itu tidak boleh diguna pakai dalam usaha menyelamat dan memadam kebakaran di negara ini,” katanya.
Katanya usaha itu juga akan dilakukan bersama institusi tempatan termasuk universiti bagi meningkatkan pengetahuan anggota JBPM dalam aspek menyelamat dan memadam kebakaran.
Dalam majlis hari ini bekas Timbalan Pengarah JBPM Pahang Nazili Mahmood dilantik sebagai Pengarah JBPM Melaka yang baharu berkuat kuasa semalam bagi menggantikan Zainuddin Md Alip yang berpindah ke Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya. – Bernama
Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");