Membawang Hari Ini

Gandingan hebat pelakon komersial-indie

teater 1

TEATER Projek Kahwin yang dipentaskan pada 6 hingga 14 Jun di Panggung Sari, Istana Budaya baharu sahaja melabuhkan tirainya Sabtu lalu.

Pementasan selama sejam 50 minit itu menggandingkan Izzue Islam (Rizal), Kilafairy dan Hanez Suraya sebagai teraju utama benar-benar menghiburkan penonton.

Bagaimanapun, Hanez hanya terlibat dengan pementasan menggantikan watak utama, Nisa bermula 11 Jun sehingga hari akhir persembahan.

Selepas kejayaan teater Maduku Kalut tahun lalu, produksi Mask Team, sekali lagi mempertaruhkan karya terbaharu, Projek Kahwin.

Namun, kali ini, Mask Team bergabung dengan IIAN Enterprise dengan pementasan berbentuk dokumentari berdurasi selama dua jam.

Malah ia merupakan projek akhir ketika bergelar penuntut Fakulti Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi MARA (UiTM). Dibarisi pelakon berbakat seperti Shah Iskandar, Kaka Azraff, Imam Muda Asyraf dan ramai lagi, teater arahan Muhammad Azri Ali ini punya kekuatan dan keunikan tersendiri dari segi skrip dan barisan pelakonnya.

Dalam masa sama, ia turut mengetengahkan penggiat teater indie yang cukup berbakat seperti Sherry Al-Hadad, Atoi Tohet, Zulin Aziz, Fazleena Hisahmuddin, Shahkimin dan Azhar Zainal.

Gandingan antara pelakon komersial dan indie ini nyata berjaya menjadi tarikan utama penonton untuk menyaksikan naskah perkahwinan yang melibatkan orang Melayu di negara ini.

Projek Kahwin mengisahkan pasangan bercinta Rizal dan Nisa, merupakan bakal raja sehari yang berhadapan dengan pelbagai masalah.

Kekalutan mula berlaku apabila keluarga kedua belah pihak masuk campur dalam urusan perkahwinan mereka.

Mereka perlu menyelesaikan masalah tersebut agar segala perancangan berlangsung dengan baik.

Bagi penulis, usaha Mask Team yang mengetengahkan pelakon komersial dan indie merupakan satu usaha yang harus diteruskan.

Tidak dinafikan, kebanyakan pelakon indie mempunyai tarikan dan peminat mereka tersendiri.

Pun begitu, penampilan Izzue dan Kilafairy juga sama hebat walaupun mereka masih baharu dalam bidang ini.

Tambahan pula, mereka mempunyai bakat bukan sahaja lakonan bahkan nyanyian yang bagus.

Biarpun berhadapan dengan masalah teknikal dan audio, namun perjalanan cerita tidak terganggu dengan masalah itu.

Sempena teater itu, pameran pengantin Projek Kahwin turut diadakan di lobi Istana Budaya bermula 11 hingga 15 Jun.

Bila Izzue jadi ‘lelaki lembut’

Bagi sesiapa yang pernah menonton persembahan Izzue menerusi teater pertamanya, Maduku Kalut pada September tahun lalu, menyerlahkan sisi beza pelakon kacak itu.

Ditanya mengenai perbezaan teater tersebut dengan Projek Kahwin, Izzue berkata, skala penonton dan ruang lebih besar membuatkannya lebih gementar.

“Mungkin kali ini watak saya lebih ‘slow and steady’. Lagipun ia berkisar mengenai seorang lelaki yang mahu berkahwin namun berhadapan dengan masalah.

“Jadi tiada banyak aksi-aksi menarik dan saya perlu ikut jalan cerita agar tidak lari daripada kisah asal,” katanya.

Namun, Izzue tetap teruja dengan wataknya itu kerana perlu berlakon dengan dua wanita yang berbeza.

“Kilafairy dan Hanez mempunyai karakter berbeza apatah lagi watak Nisa dilakonkan dua individu berlainan.

“Saya tiada masalah pun untuk bekerjasama dengan mereka. Masing-masing ada karakter tersendiri,” ujarnya.

Selain perlu berlakon dan menyanyi secara langsung, Izzue mengejut ramai pihak dengan lakonannya sebagai Jiji, seorang perunding perkahwinan.

Perwatakannya yang lembut nyata mampu mencuit penonton apatah lagi dia berjaya menghayati wataknya dengan baik.

“Saya tidak sangka mampu melakukannya kerana watak ini agak sukar pada mulanya.

“Banyak rujukan dilakukan agar ia benar-benar menjadi dan tidak kekok dipandang penonton.

“Alhamdulillah, saya bersyukur ramai yang memuji lakonan saya itu,” katanya.

Menurutnya, walaupun ada berlaku kesilapan kecil namun, dia berusaha untuk memperbaiki perkara tersebut dari semasa ke semasa.

Sherry Al-Hadad memukau

Berpengalaman dalam bidang teater sejak sekian lama membuatkan Sherry Al-Hadad yang lebih dikenali sebagai pelakon versatil tidak mempunyai masalah di atas pentas.

Namun begitu, Projek Kahwin merupakan pengalaman pertama baginya berada di atas pentas yang lebih besar berbanding sebelum ini.

Menurut Sherry, dia banyak melakukan persembahan di pentas yang berskala lebih kecil seperti Lambang Sari, Metics, DPB dan sebagainya.

Katanya, bidang lakonan bukan masalah baginya kerana sering melakukan ‘brainstorm’ sebelum pementasan bermula.

“Kalau ada masalah kami sama-sama menyokong dan berbincang agar tidak mengganggu prestasi kerja.

“Selalunya kami akan duduk semeja agar dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat,” katanya.

Memegang watak ibu kepada Nisa (Kilafairy), Sherry berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah kerana selalu ditawarkan watak lebih berusia daripada umurnya.

“Watak saya merupakan seorang ibu yang terlalu demand dengan bakal menantunya, Rizal dan mahukan majlis yang gilang-gemilang.

“Kerana ego, dia sanggup mempertikaikan perasaan anaknya yang mahukan perkahwinan yang lebih sederhana dan tradisional,” ujarnya.

Biarpun diberikan watak sampingan namun, kelibat Sherry pasti menjadi tumpuan setiap kali dia muncul dia atas pentas.

“Selalunya penonton melihat saya lebih kepada komedi, mungkin itu antara salah satu sebabnya mereka akan ketawa walaupun tak
bersuara.

“Jika ada yang mengatakan lakonan saya menenggelamkan watak utama tapi sebenarnya watak saya lebih kepada komedi.

“Soal tenggelamkan siapa tidak timbul kerana masing-masing memberikan komitmen tinggi untuk menjayakan pementasan ini,” ujarnya yang pernah terlibat dengan pementasan Jam Dinding yang Berdetak, Mak Dara Nyonya, Disco Baldi dan terbaharu, drama Oh My English (OME).

Imam muda Asyraf ‘main peranan’

Sebelum ini, penglibatan Imam Muda (IM) Asyraf dikritik hebat masyarakat terutamanya di laman sosial selepas pengumumannya untuk turut serta dalam teater ini.

Bahkan dia juga turut menerima maklum balas negatif di laman Facebooknya sendiri, namun Asyaraf tidak mudah melatah dengan keadaan ini.

Selepas penulis menonton sendiri persembahannya, ia serupa dengan penyampaian ceramah-ceramahnya sebelum ini dan bukannya berlakon sekali dengan pelakon lain.

Antara babak, terselit satu babak khas untuknya menyampaikan tazkirah pendek mengenai perkahwinan dengan cara yang santai.

Ia merupakan penampilan istimewa yang belum pernah diketengahkan menerusi teater-teater sekarang dan satu usaha yang wajar dipuji.

Menurut Asyraf, dia tidak memiliki sebarang pengalaman berlakon apatah lagi berada di atas pentas besar seperti Panggung Sari.

“Saya tidak pandai berlakon teater tetapi diberi peluang untuk menyampaikan ceramah di celahan pementasan.

“Inilah pengalaman baharu dalam hidup saya. Sebelum pementasan, saya perlu masuk kelas lakonan dan mempelajari bermacam ilmu teater.

“Apa yang terkesan di hati saya adalah kesempatan mengenali, belajar dan mendalami jiwa orang-orang seni dengan melihat pelbagai karakter mereka,” katanya.

Tegas Asyraf, dia bukan pelakon dan tidak bercita-cita untuk meneruskan kerjaya itu sebaliknya penglibatannya hanya sebagai watak ustaz di atas pentas yang berbeza.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");