Membawang Hari Ini

Hijrah artis Brunei

nina iskandar 1

“PERANG yang paling susah untuk dihadapi adalah ‘perang’ dengan diri sendiri.

“Lebih-lebih lagi, apabila sebagai manusia, terlalu banyak ajakan dan niat serta dugaan terutamanya daripada bisikan syaitan.

“Oleh itu, saya berharap agar ALLAH SWT sentiasa tetapkan hati saya dengan penghijrahan ini,” ulas Nina Iskandar mengenai harapannya terhadap penghijrahan yang dilakukannya sejak sebulan lalu.

Bahkan, jelas pemilik nama sebenar Nur Akmalina Iskandar ini, perubahannya itu datang sepenuhnya daripada hatinya sendiri.

“Punca berhijrah ini lebih kepada perasaan dan keadaan.

“Sering saja saya melihat individu lain yang berhijab, ia menimbulkan tanda tanya dalam diri bilakah saya akan mula berhijab?

“Keadaan itu menyebabkan keinginan saya semakin membuak-buak,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran saluran terbaru Hypp TV (Hypp Flick+) Blokbuster, baru-baru ini.

Malah, pelakon itu kini mengakui yang dia semakin selesa dan tenang dengan penampilan terbaharunya itu.

“Saya semakin membiasakan diri dan berasakan ia sebagai satu keperluan.

“Lagi pula, saya berasakan terdapat perbezaan ketara terutamanya daripada segi pandangan sejak saya berhijab,” katanya yang juga mendapat sokongan penuh dan jitu daripada rakan-rakan dan keluarganya.

Bawa imej Brunei

Sebelum ini, Brunei Darussalam mengamalkan pemerintahan lebih konservatif berbanding negara jiran Islamnya di Asia Tenggara iaitu Malaysia dan Indonesia, seperti mengharamkan penjualan dan kegiatan minum arak secara terbuka.

Begitu pun, sejak Mei lalu, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah telah melaksanakan hukuman hudud, termasuk merejam sampai mati bagi mereka yang didapati bersalah kerana berzina.

Mengumumkan keputusan itu, baginda merujuk langkah berkenaan sebagai yang bersejarah pelaksanaan undang-undang Islam sebenar di negara itu.

Gadis kelahiran Brunei yang sedang mencipta nama di Malaysia, Nina iskandar yang kini berhijab bagaimanapun menafikan penampilannya itu adalah disebabkan pelaksanaan hudud berkenaan.

“Ramai yang keliru dan beranggapan saya berubah kerana hukum hudud, tapi sebenarnya tidak!.

“Hukum hudud tiada sebarang kaitan dengan penampilan diri sebaliknya ia lebih kepada jenayah melalui undang-undang syariah.

“Ramai saja wanita di Brunei tidak menutup aurat.

“Lagi pun, saya tahu menjadi kewajipan bagi seorang wanita untuk menutup aurat,” tegasnya.

Aktres berkenaan sebaliknya mengakui dia menghormati akan pelaksanaan undang-undang syariah di negara kelahirannya itu,

Tambahnya lagi, undang-undang syariah di Brunei sudah lama diwujudkan cuma ia kini semakin dikuatkuasakan.

Jelasnya lagi, sebagai ‘public figure’ dia berusaha untuk menjadi contoh terbaik sebagai salah satu cara mempersembahkan negara asalnya itu di mata negara lain.

“Saya tahu, saya membawa imej negara kelahiran ke negara lain.

“Ini adalah satu kelebihan buat diri saya,” katanya.

Bertunang Ogos depan

Dalam pada itu, Nina turut mengakui bakal bertunang dengan ahli perniagaan, Ahmad Heiqal, pada Ogos depan selepas dirisik pada 15 Februari lalu.

Bagaimanapun, Nina mengakui mereka masih belum punya perancangan untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.

Begitu pun, Nina memberitahu, dia sudah pun bersedia untuk menjadi seorang isteri.

Malah, dia juga telah bersedia untuk meninggalkan kerjaya lakonannya pada bila-bila masa.

“Bagi saya bertunang bukanlah benda jahat, sebaliknya ia adalah sesuatu yang baik.

“Perasaan ini datang bukan kita yang minta. Ia datang secara tiba-tiba, jadi saya serah segala-galanya kepada takdir,” katanya yang mengikat kontrak selama lima tahun dengan Metrowealth International Group (MIG).

Bahkan, pihak pengurusannya juga tiada masalah mengenai perkara itu, malah menyokong niatnya untuk melangsungkan pertunangan.

“Sebenarnya, saya sendiri sebelum ini pernah bercakap dan berbincang dengan Mejar (K) David Teo mengenai hubungan kami dan dan hasrat saya.

“David sendiri tidak dapat menghalangnya dan dia sendiri akui telah merestuinya.

“Lagipun, kami baru bertunang dan belum merancang untuk berkahwin lagi. Namun saya tidak menolak jika jodoh saya sampai dalam masa terdekat,” katanya.

Pengakuan aktres itu sekali gus menepis segala gosip yang mengaitkan dirinya dengan anak tiri kepada penyanyi Datuk Siti Nurhaliza iaitu Adib Khalid, 24.

“Ternyata semua gosip di antara saya dengan anak Datuk K itu tidak benar!,” tegasnya.

Kurang terima tawaran?

Bercerita mengenai soal kerjayanya pula, wanita kacukan Pakistan, Melayu dan Cina ini mula mencipta nama sejak membintangi filem Muka Surat Cinta di samping Mikail Andre, Atikah Suhaime dan Azwan Kombos.

Sejak itu, dia mula berlakon dalam filem terbitan MIG seperti Lu Gua Bro, Sniper dan yang terbaharu, Pengantin Malam arahan Eyra Rahman yang akan menjengah pawagam pada 19 Jun ini di samping Nora Danish dan Farid Kamil.

Begitu pun, dek penghijrahan yang dilakukannya itu, Nina mengakui tidak risau sekiranya kurang menerima tawaran berlakon.

“Saya tidak risau akan perkara itu. rezeki Tuhan ada di mana-mana saja.

“Semua rezeki telah ditentukan oleh ALLAH SWT dengan sebaik-baiknya.

“Saya percaya akan perkara berkenaan dan pasti ada benda yang lebih baik sedang menunggu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nina juga bakal terlibat dalam satu drama bersiri khas Ramadan ini iaitu Raya Ini Mesti Kahwin untuk ditayangkan di TV3 kelak.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");