Jenayah

Ibu panik, sangka anak diculik

ibu panik

PARIT BUNTAR – Seorang ibu panik selepas mendapati anak perempuannya berusia lapan tahun tiba-tiba hilang ketika mereka berkunjung ke Pasar Kemboja di Jalan Permatang Tok Mahat, di sini kelmarin.

Kanak-kanak itu yang disangka diculik bagaimanapun ditemui dalam keadaan bingung oleh anggota Pertubuhan Sukarela Keselamatan dan Kebajikan Islam Kerian (PSKK) di sebuah kedai kopi yang terletak 500 meter dari pasar tersebut selepas dua jam.

Difahamkan, kehilangan kanak-kanak yang dikenali sebagai Ana disedari ibunya pada kira-kira jam 12 tengah hari selepas dia didapati tiada di sisi ketika wanita itu ingin membeli tudung.

Jurucakap PSKK berkata, selepas hampir sejam mencari anak perempuannya, ibu kanak-kanak berkenaan meminta bantuan orang ramai yang kemudiannya segera memaklumkan kehilangan Ana kepada anggota PSKK.

Menurutnya, sebaik menerima maklumat itu, 10 anggota PSKK membantu ibu dan nenek kanak-kanak berkenaan mencarinya.

“Bimbang dengan keselamatan cucunya, nenek kanak-kanak perempuan itu turut meminta Jawatankuasa Kariah Masjid Permatang Tok Mahat untuk menggunakan pembesar suara bagi memaklumkan kehilangannya.

“Lebih kurang jam 1.30 tengah hari, salah seorang anggota PSKK akhirnya berjaya menemui kanak-kanak itu dalam keadaan kebingungan di sebuah kedai kopi, 500 meter dari lokasinya hilang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PSKK, Zaharuddin Mohd Ghazali berkata, kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan trauma, mungkin ketakutan setelah gagal menemui ahli keluarganya.

Katanya, PSKK turut dimaklumkan bahawa kanak-kanak berkenaan dan keluarganya berasal dari Batu Maung, Pulau Pinang datang ke Parit Buntar semata-mata untuk mengunjungi Pasar Kemboja.

“Saya ingin menasihatkan ibu bapa supaya lebih prihatin dalam menjaga keselamatan kanak-kanak meskipun sedang sibuk membeli-belah.

“Dalam keadaan kes penculikan kanak-kanak semakin berleluasa di seluruh negara, ibu bapa perlu sentiasa mengawasi pergerakan kanak-kanak dan tidak alpa dalam menjaga keselamatan mereka kerana perkara tidak diingini boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");