Membawang Hari Ini

Ifa Raziah dera Nas Adila

ifa raziah

Lakonan mantap Raja Azura sebagai Permaisuri Lela Sari menerusi teater Bidasari yang dipentaskan di Istana Budaya pada Februari lalu menerima pujian ramai. Teater muzikal arahan Lokman Ghani ini turut menampilkan Nur Fathia, Aiman Hakim Ridza, Raja Azura, Jalaluddin Hassan, Radhi Khalid dan Hairul Azreen sebagai barisan pelakonnya.

Kini, peminat sekali lagi dapat menyaksikan pementasan teater klasik popular ini di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula malam ini (13 Jun) sehingga 15 Jun, pada jam 8.30 malam. Bezanya, teater arahan pelakon dan aktivis teater terkenal, Rosli Rahman Adam ini tampil dalam genre bangsawan yang semakin terpinggir daripada kelompok masyarakat sekarang.

Kerjasama Jabatan Kebudayaan, Kesenian Dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Persatuan Teater Malaysia akhirnya berjaya merealisasikan teater terbitan Persatuan Dramatis Kuala Lumpur dan Selangor ini menjadi kenyataan.

Menampilkan Ifa Raziah sebagai Permasuri Lela Sari, Nas Adila (Bidasari) dan Aliff AF (Tengku Indera), Bidasari turut dibantu penampilan pelakon daripada Dramatis Kuala Lumpur dan Selangor, sekali gus memantapkan lagi skrip tulisan Liza Tan ini.

Ifa yang hadir ke Balai Berita bagi mempromosikan teater ini berkata, pujukan daripada Rosli membuka hatinya untuk membintangi teater ini.

“Saya mula terbabit dengan teater bangsawan sejak 2002 bersama kumpulan Anak Seni Warisan Selangor & Kuala Lumpur (ASWA) menerusi teater Rangkas Putera. Selepas itu saya tumpukan perhatian sebagai pelakon dan pengacara, sekali gus meninggalkan dunia teater.

“Selepas 10 tahun saya kembali terbabit dengan teater ini kerana menghormati abang Rosli. Tiga bulan dia ambil masa pujuk saya kerana merasakan saya yang paling layak membawakan watak Permaisuri Lela Sari. Awalnya saya menolak kerana terlalu sibuk dengan undangan menya­nyi dan mengacara.

“Bahkan sebelum ini pun saya ada tawaran untuk berlakon teater daripada pelbagai pihak, tapi saya menolak. Bagaimanapun, saya tak sampai hati ­dengan ajakan abang Rosli dan setuju terima dengan syarat dia perlu ikut jadual saya. Nampaknya dia akur ­dengan permintaan saya,” katanya.

Ifa berkata, dia pernah menonton filem Bidasari dan memahami jalan ceritanya. Namun, membintangi teater bangsawan ini sememangnya agak mencabar.

“Bangsawan lain daripada yang lain kerana ia mengikut sejarah yang berlaku. Saya tak boleh nak ‘adlib’ sesuka hati kerana dialognya khas disediakan untuk sesuatu watak. Apapun ketika latihan saya begitu menjiwai watak sehingga Nas Adila menjadi mangsa keganasan Permaisuri Lela Sari. Kesian kerana ketika itu dia belum pandai mengelak.

“Sejujurnya saya tak sempat menonton Bidasari di IB kerana terikat dengan penggambaran. Diharap peminat tak bandingkan saya dan Raja Azura kerana masing-masing ada cara sendiri. Lagipun kami bekerja di bawah pengarah yang berbeza,” katanya yang kini mengacara program realiti 13 episod berjudul Terima Kasih Ibu yang akan disiarkan menerusi Astro Prima pada Ogos ini.

Nas Adila juga tidak berpeluang menonton teater Bidasari di IB. Bagaimanapun, dia yang berpengalaman berlakon teater bangsawan Dendam Tantari, menjadikan primadona Datuk Sarimah sebagai inspirasi bagi menjayakan karakter Bidasari.

“Antara watak lakonan saya dalam teater, inilah yang paling mencabar. Saya memang selalu diberikan watak baik, tapi belum pernah lagi yang kena dera. Kali ini saya kena menangis setiap masa akibat didera oleh permaisuri. Tak dinafikan saya memang teringin nak bekerja dibawah arahan abang Rosli dan sebaik ditawarkan peluang, saya tak ambil masa lama untuk bagi persetujuan.

“Menerusi latihan yang cukup serta bantuan daripada semua yang terbabit, saya percaya dapat menampilkan lakonan terbaik dan meninggalkan kesan buat penonton,” katanya yang akan menyanyikan lagu Nada Merindu, Ketipang Payung dan Patah Hati dalam teater ini.

Aliff pula pernah terbabit dengan teater Dendam Tanjung Puri dan beberapa teater lain. Dia berjanji akan memberikan kepuasan buat peminat yang hadir memberikan sokongan buat teater ini.

“Tahun ini sangat istimewa buat saya kerana terpilih menjayakan teater ini. Bidasari sebuah naskhah terkenal dan turut diterbitkan dalam bentuk filem. Latihan untuk teater ini dijalankan hampir sebulan. Saya juga diajar teknik bersilat oleh Zayrul Iqwan Rosli,” katanya yang akan menyanyikan lagu Dalam Genggaman nyanyian asal Jasni.

Rosli pula mengakui persiapan awal dibuat apabila pihaknya menerima tawaran daripada JKKN untuk terbabit dalam program Siri Semarak Bangsawan 2014.

“Saya memang buat persediaan awal. Skripnya oleh isteri saya manakala saya bagi idea untuk jadikan­nya lebih mantap. Cerita asal dikekalkan selain kami masukkan unsur bangsawan dari zaman Mak Yem, Shariff Medan, Kadarisman dan banyak lagi.

“Lagu-lagu yang ditampilkan dalam Bidasari bukan diambil daripada versi filem kerana agak susah untuk buat gubahan semula. Jadi, saya ambil lagu daripada filem Melayu klasik yang sesuai. Bagi saya yang penting ialah keaslian lakonan, bukan lagu di dalamnya.

“Pemilihan Ifa sebagai permaisuri dibuat kerana karakternya sesuai dengan watak itu. Begitu juga Nas kerana dia ada pakej boleh menyanyi dan berlakon. Aliff juga mempunyai bakat tersendiri. Penampilan Nas dan Aliff sebenarnya sebagai tarikan untuk menarik generasi Y datang menonton,” katanya.

-METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");