Berita Hari Ini

Jangan guna logo halal sewenangnya

logo halal

ALOR SETAR – Logo halal tidak boleh dibiarkan digunakan sewenang-wenangnya pengusaha makanan bukan Islam.

Exco Wanita Umno, Datuk Hasnah Salam berkata, soal halal adalah isu sensitif umat Islam dan tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak.

Justeru,  pihaknya akan berusaha menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan logo halal dalam produk makanan dan sebagainya.

“Kita tak akan bagi orang bukan Islam mengguna dan mempamerkan logo halal terhadap produk mereka begitu sahaja kerana ia isu yang begitu sensitif.

“Sekarang ini kita nak cakap mengenai tauhu atau coklat pun kita rasa takut,” katanya selepas merasmikan majlis taklimat dan penerangan berkaitan GST dan isu halal anjuran Biro Pengguna Umno Kedah di Dewan Bangunan Tunku, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Wanita Umno Kedah, Datuk Maznah Hamid dan Pengerusi Biro Pengguna Wanita Umno Kedah, Norma Awang.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Pengguna Wanita Umno berkata, pihaknya akan mengadakan bengkel dan seminar untuk menerangkan kepentingan logo halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sebelum ini, media melaporkan beberapa insiden membabitkan produk makanan yang status halalnya diragui.

Terbaharu produk bihun menggunakan lambang masjid yang sinonim dengan masyarakat Islam tanpa menggunakan logo halal keluaran Jakim.

Hasnah berkata, wanita boleh bertindak sebagai ejen untuk menyampai dan memberi maklumat mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST)  kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

“Hari ini kita adakan taklimat kepada wanita Umno agar mereka dapat sampaikan maklumat itu dengan baik kepada akar umbi.

“Saya fikir wanita lebih dekat dengan masyarakat. Mereka yang pergi ke pasar dan tahu harga barang. Kita akan teruskan program ini ke seluruh negara,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");