Jenayah

Jihad Disalah Erti Akhirnya Terjerumus Anggotai Kumpulan Pengganas

jihad1

KUALA LUMPUR: Pengertian jihad yang tidak tepat menyebabkan seseorang itu mudah terkeliru hingga boleh menyebabkan individu itu terjerumus kepada kegiatan ektremis sehingga ada yang sanggup menjadi pengebom berani mati, kata Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr Mohd Roslan Mohd Noor.

Mohd Roslan berkata majoriti anggota pengebom berani mati beranggapan tugas yang mereka laksanakan itu tergolong dalam pengorbanan mulia jihad untuk ke arah mati syahid.

Sedangkan idelogi jihad pengebom berani mati ini sudah salah kerana semata-mata taksub untuk mati syahid, katanya.

Jihad dalam definisi syariah membawa makna menentang orang musyrik di medan pertempuran dan menghapuskan segala rintangan terhadap dakwah bagi memastikan kalimah Allah (Islam) itu dijulang setinggi-tingginya.

“Dalam etika perang pula dilarang untuk membunuh wanita, kanak-kanak, dan orang tua, ini semua larangan yang telah diterangkan oleh Nabi Muhammad SAW.

“Jadi jika kita lihat fenomena pergi meletupkan diri di tempat orang awam dan membunuh orang tidak berdosa adalah satu kesalahan besar sebenarnya dan berdosa,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Roslan menasihatkan agar orang yang benar-benar ingin berjihad supaya memahami perkara itu secara holistik dan bukan bertindak melulu.

Sebelum ini, akhbar Utusan Malaysia mendedahkan hasil tangkapan 10 individu rakyat Malaysia yang menganggotai Jemaah Islamiah (JI) pada 2001, mendapati kesemua individu terbabit telah direkrut untuk menyertai anggota pengebom berani mati.

Malah kesemua individu terbabit didakwa ketika itu sedang merancang untuk melaksanakan serangan ke atas Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands di Singapura.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pasukan Intervensi Krisis Malaysia (MCIT), Dr Abdul Jalil Hassan mendedahkan bahawa antara taktik pengganas merekrut orang ramai menyertai mereka adalah dengan kaedah perang saraf.

Katanya kaedah itu menggunakan taktik memainkan isu emosi yang kuat hingga mampu mempengaruhi minda seseorang.

“Mereka selalunya akan guna isu agama sambil melontarkan ungkapan yang berbentuk emosi untuk memerangkap rekrut baharu, contohnya tidak ada orang nak memperjuangkan agama kita, kita kena pertahankan agama kita dan kitalah yang telah dipilih untuk menjadi seorang perjuang.

“Ayat sebegitu mereka mainkan supaya dapat menarik orang ramai mengikuti ideologi mereka,” kata Dr Abdul Jalil.
Di Malaysia pernah terdapat kumpulan pengganas seperti Al-Maunah pada tahun 2000, Jemaah Islamiyah (JI) serta Kumpulan Militan Malaysia (KMM).

Namun Kumpulan JI merupakan antara kumpulan yang cukup digeruni ekoran lebih tujuh insiden pengeboman di sekitar daerah Jakarta dan Bali dilaporkan dirancang oleh kumpulan itu.

-MSTAR

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");