Berita Hari Ini

Kakitangan cuai kena tindakan

datuk subramaniam

IPOH – Kementerian Kesihatan Malaysia memandang serius dakwaan kecuaian kakitangan hospital kerajaan ketika mengendalikan pesakit.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, sekiranya benar berlaku kecuaian seperti yang didakwa oleh pengadu, kementerian tidak akan teragak-agak akan mengambil tindakan ke atas kakitangan terbabit.

“Kita tidak nafikan kecuaian boleh berlaku dan di pihak kementerian, jika ada dakwaan, siasatan sedalam-dalamnya dilakukan untuk mencari punca sebenar kepada isu berbangkit (dakwaan).

“Jika benar berlaku kecuaian seperti yang didakwa, maka kita boleh ambil tindakan sewajarnya kerana kementerian sentiasa mengutamakan keselamatan apatah lagi ketika merawat pesakit ketika pesakit masuk dan keluar dari hospital,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia di Mydin Mall Meru Raya di sini, semalam.

Subramaniam berkata, kementerian mempunyai panduan yang perlu dipatuhi untuk memastikan keselamatan pesakit .

“Kecuaian ini boleh berlaku di mana-mana termasuk di hospital yang paling canggih dan terkemuka di dunia sekalipun.

“Jadi perkara ini kita akan siasat dengan sepenuhnya dan jika benar berlaku kecuaian seperti yang didakwa, kita tidak teragak-agak akan mengambil tindakan,” katanya lagi.

Pada 10 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan Zainap Mat Ghani menderita selepas disuntik sehingga menyebabkan tangan kirinya bernanah dan tiga jari terpaksa dipotong selepas menerima rawatan di sebuah hospital di sini.

Anaknya mendakwa, ibunya itu terpaksa menanggung kesakitan akibat mengalami luka serius di tangan kiri sejurus menerima beberapa suntikan daripada seorang doktor yang merawatnya 20 Mei lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Kesihatan Negeri akan menjalankan siasatan berhubung isu tiga jari seorang warga emas terpaksa dipotong akibat bernanah selepas dipercayai menjalani rawatan di sebuah hospital di sini.

Timbalan Pengarahnya, Dr Rahimi Goon berkata, pesakit warga emas wanita berusia 72 tahun itu masih menerima rawatan di hospital berkenaan.

Menurutnya, pihak hospital sentiasa memastikan pesakit mendapat rawatan sewajarnya malah penerangan berhubung rawatan dimaklumkan pegawai perubatan kepada waris pesakit dari semasa ke semasa.

“Pihak kami akan berhubung terus dengan pesakit dan keluarga jika terdapat sebarang perkembangan atau kemusykilan.

“Pihak jabatan dan hospital amat prihatin dan sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan untuk kepuasan pelanggan yang mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");