Jenayah

Kampung jadi tempat buang najis

tmpt buang najis

POKOK SENA – Tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menjadikan Kampung Bukit Lala, Mukim Gajah Mati dekat sini, sebagai tempat pembuangan sisa kumbahan najis amat dikesali penduduk tempatan.

Penduduk, Kamis Hashim, 65, berkata, sejak dua bulan lalu, beberapa lori kelihatan mula masuk ke kampung itu dengan membawa sisa kumbahan dan menyimpannya di dalam tiub bagi mengelak dari dibuang di tempat yang sewajarnya.

Katanya, kedudukan tempat menyimpan najis itu yang berhampiran jalan utama kampung membimbangkan penduduk kerana boleh menyebabkan tiub itu bocor hingga mampu mendatangkan pencemaran bau.

“Kami bimbang jika tempat simpanan najis itu pecah dan menyebabkan ia mengalir ke tepi jalan dan sudah pasti menimbulkan masalah kepada penduduk kampung.

“Penduduk rasa terhina kerana sebelum ini kawasan itu dikelilingi dengan pokok dan udara segar tetapi tindakan pihak tidak bertanggungjawab membawa masuk najis manusia ke sini sangat mengecewakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kamis berkata, penduduk hanya membenarkan jalan itu digunakan oleh lori yang mengambil hasil getah sahaja tetapi tidak membenarkan lori lain melaluinya dalam urusan perniagaan.

Menurutnya, penduduk kecewa dengan tindakan pemilik tanah yang tidak tinggal di sini kerana membenarkan aktiviti dilakukan di kampung terbabit.

“Kami merayu kepada pemilik tanah supaya simpati dengan keadaan penduduk yang terpaksa berhadapan dengan bau busuk apatah lagi laluan itu menjadi jalan utama kepada mereka untuk keluar masuk mencari rezeki,” katanya.

Katanya, penduduk sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa pada Mei lalu tetapi sehingga kini belum ada sebarang tindakan diambil dan perkara ini sungguh mengecewakan.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat turun dan menyiasat status aktiviti itu yang dikatakan mendapat permit dari pihak berkuasa hingga menimbulkan masalah pencemaran kepada penduduk di sini,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");