Berita Hari Ini

Kekal kerjasama serantau

zahid hamidi

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mahu amalan kerjasama negara di rantau ini dikekalkan dan dipertingkatkan, membabitkan semua isu dan bukan saja terhad kepada operasi keselamatan semata-mata.

Mengambil contoh kerjasama dalam insiden kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 sejak 8 Mac lalu, Perdana Menteri menyatakan ia berjaya mencerminkan nilai kerjasama antara negara terbabit.

Beliau menjelaskan, aspek keselamatan di rantau ini amat bergantung kepada kemampuan pelbagai negara untuk terus mengeratkan usaha kerjasama.

“Asasnya (jalinan kerjasama itu) sudah ada, seterusnya ia boleh diperkukuhkan menerusi penubuhan institusi serta nilai yang boleh diterima semua.

“Contohnya dalam kita memerangi ancaman keganasan, memerlukan perkongsian risikan dan penyelarasan antara agensi keselamatan.

Serangan pengganas
“Hampir tiga minggu lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seorang warga asing yang dipercayai terlibat dalam perancangan serangan pengganas ke atas konsulat di India.

“Maklumat daripada cawangan khas Malaysia berjaya menahan tiga suspek berkenaan pada April lalu.

“Insiden ini sekali lagi menekankan mengenai kepentingan kerjasama bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-28 di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama, Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan serta Naib Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Clara Joewono.

Mengulas lanjut, beliau berkata Malaysia juga memainkan peranan untuk mencegah perkembangan senjata pemusnah besar-besaran menerusi Inisiatif Keselamatan Penularan Senjata (PSI) bagi memastikan generasi akan datang tidak hidup di bawah ancaman senjata.

Beliau juga mengingatkan semua pihak berwaspada terhadap semua ancaman sambil menegaskan bahawa Malaysia tetap dengan pendirian dan penegasan kepada pegangan dunia tanpa ancaman nuklear.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");