Perak Hari Ini

Kerajaan Perak Sokong Wujud Jawatankuasa Khas Pantau Syarikat Tawar Pakej Umrah

DATUK NIZAR

Kerajaan negeri Perak menyokong penuh cadangan penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi memantau syarikat-syarikat yang menawarkan pakej umrah kepada umat Islam di negara ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria, penubuhan sekretariat khusus bagi memantau syarikat yang menawarkan pakej umrah dapat memastikan insiden 121 jemaah yang terkandas di Madinah baru-baru ini tidak berulang lagi.

“Pakej-pakej umrah dengan harga yang cukup menarik adalah satu bentuk persaingan bagi menarik minat para pelanggan,” katanya.

Jelasnya lagi, agensi berkenaan turut meletakkan harapan yang cukup tinggi kepada pelanggannya tanpa memikirkan risiko-risiko yang perlu dihadapinya kelak apabila berada di destinasi berkenaan.

“Kes seperti ini cukup banyak dan saya berharap syarikat dan ejen pakej umrah perlu membuat pertimbangan yang betul dan sewajarnya bagi menarik lebih ramai pelanggan,” katanya.

Tegasnya, pihak berkenaan perlu memikirkan tentang mutu perkhidmatan, keselamatan, jaminan kebajikan dan yang paling utama adalah menjaga nama baik negara Malaysia.

“Jika perkara yang tidak elok berlaku di luar negara, kesannya akan menjejaskan nama baik negara dan hubungan negara kita dengan negara luar,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, pemilihan pakej yang terlalu rendah, iaitu di bawah RM4,000 antara penyebab jemaah Malaysia terkandas di Madinah.

“Pengalaman tersebut perlu dijadikan iktibar kepada semua terutama sekali kepada pengusaha syarikat yang menawarkan pakej umrah

“Umat Islam yang ingin melaksanakan umrah itu sendiri perlu lebih berhati-hati dalam memilih pakej umrah,” katanya.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih dan memuji tindakan pantas pihak kerajaan terutama sekali Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengarahkan bantuan segera untuk membawa pulang 121 jemaah yang terkandas dengan selamat.

“Ini adalah satu bentuk keprihatinan PM selain usaha untuk menjaga nama baik dan hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi yang sudah terjalin  cukup baik selama ini,” ulasnya lagi.

Masyarakat dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan pakej promosi yang ditawarkan oleh syarikat di luar sana.

“Mungkin kita ingin berjimat pada awalnya, namun akibat daripada tindakan itu hanya akan menambah perbelanjaan jika berlaku perkara seperti ini,” tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");