Jenayah

Label ‘mati katak’

topi keledar

Kuala Lumpur: Kebanyakan penunggang motosikal di negara ini terdedah risiko ‘mati katak’ apabila topi keledar digunakan bukan sahaja tidak memenuhi piawaian keselamatan, malah turut dikesan menggunakan pelekat keselamatan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) palsu.

Topi keledar menggunakan pelekat SIRIM palsu itu dipercayai digunakan pengeluar topi berkenaan bagi mengaburi pengguna.

Kegiatan penipuan itu bagaimanapun berjaya dikesan selepas sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan melakukan operasi khas di beberapa premis menjual aksesori serta alat ganti motosikal sekitar ibu kota pagi kelmarin.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, kewujudan topi keledar dengan pelekat SIRIM palsu itu dikesan hasil siasatan dijalankan pihaknya bagi membanteras topi keledar tidak selamat.

Menurutnya, susulan maklumat diperoleh, lima anggota penguat kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan diketuai Mohd Khairul Anuar Mohd Azmi melakukan serbuan mengejut di sebuah premis menjual aksesori motosikal di Jalan Ipoh di sini, jam 11.30 pagi.

Katanya, hasil serbuan itu, pihaknya merampas 30 topi keledar yang dijual di premis itu yang disyaki memiliki pelekat SIRIM palsu.

“Topi keledar itu dijual pada harga RM30 setiap satu. Sekali imbas label SIRIM palsu yang dilekatkan pada belakang topi keledar kelihatan sama seperti label tulen.

“Bagaimanapun, beberapa ciri khas pada label SIRIM tulen tidak dapat ditiru pada label palsu itu. Semua topi keledar bernilai kira-kira RM300 itu kemudian disita,” katanya.

Beliau berkata, pemilik premis itu yang disoal siasat bagaimanapun memberi alasan tidak tahu label SIRIM itu adalah palsu kerana mendakwa ia diperoleh daripada pembekal.

“Pihak KPDNKK memandang serius penjualan topi keledar dengan label SIRIM palsu dan siasatan akan dilakukan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011. Jika sabit kesalahan, individu yang menjualnya boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");