Berita Hari Ini

Langkah Tepat Tolak Tawaran Ambil Alih PLUS – MP

plus

KUALA LUMPUR: Penolakan tawaran yang dikemukakan oleh sebuah syarikat swasta untuk mengambil alih Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) oleh kerajaan merupakan langkah yang tepat dan terbaik untuk kepentingan rakyat, menurut dua orang wakil rakyat.

Anggota Parlimen kawasan Sekijang di Johor, Anuar Manap berkata, beliau yakin kerajaan telah membuat pertimbangan wajar dengan mengambil kira maklumat secara terperinci dalam menolak tawaran daripada Idaman Saga Sdn Bhd yang diumumkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, di Parlimen, Rabu lepas.

Idaman Saga merupakan syarikat miliki tokoh usahawan Tan Sri Halim Saad.

Abdul Wahid ketika mengumumkan keputusan itu, berkata penolakan itu adalah berdasarkan kepada maklumat dan andaian yang tidak tepat oleh syarikat berkenaan yang antara lain, berjanji tidak akan menaikkan kadar tol di lebuh raya yang menghubungkan keseluruhan Semenanjung Malaysia itu sehingga tamat tempoh konsesi pada 2038, sekiranya tawaran syarikat beliau berjaya.

“Seperti yang diumumkan oleh menteri, andaian maklumat yang dikemukakan oleh Idaman Saga adalah tidak tepat. Kita sedia maklum dalam mana-mana transaksi perniagaan, pihak pembeli bertanggungjawab untuk menyediakan maklumat yang tepat.

“Malah, kerajaan tidak berniat pun untuk menjual PLUS kerana ia kini dimiliki bersama dua agensi kerajaan iaitu Kumpulan UEM dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya ketika mengulas keputusan itu.

Ini merupakan kali kedua tawaran pengambilalihan PLUS oleh Halim ditolak.

Pada 2009, Halim menerusi satu lagi syarikatnya, Jelas Ulung Sdn Bhd, juga membuat cubaan yang sama, dengan nilai tawaran berjumlah RM26 bilion, tetapi ditolak setelah gagal membayar wang pertaruhan bernilai RM50 juta dalam tempoh dua minggu seperti yang disyaratkan.

Anuar juga berkata beliau memperakui keupayaan dan latar belakang Abdul Wahid ‘yang bukan calang-calang orang’ kerana memang mempunyai kepakaran dalam bidang perbankan dan berpengalaman secara langsung dalam pengurusan lebuh raya.

Sebelum dilantik menteri Kabinet tahun lepas, Abdul Wahid merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, iaitu kumpulan perbankan terbesar di Malaysia, dan sebelum itu juga Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UEM Berhad dan Naib Presiden Eksekutif PLUS Expressways Berhad.

Anuar juga berkata: “Fikirkanlah, tiada mana-mana kerajaan di dunia ini akan melayan sebarang cadangan atau kertas konsep yang tidak tepat dan berdasarkan andaian untuk mengambil alih aset penting negara seperti PLUS menerusi sesi pertemuan santai.
“Saya menyokong dan bersetuju bahawa kerajaan telah pun membuat keputusan yang sewajarnya dan terbaik bagi mengekalkan PLUS di bawah milik negara demi kepentingan rakyat,” katanya.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Permatang di Selangor, Sulaiman Razak, menyifatkan tawaran itu sebagai “tidak relevan”.

“Tawaran itu kurang lengkap kerana ia cuma menyatakan manfaat daripada pengambilalihan sahaja. Ini nak ambil alih satu syarikat, bukan syarikat yang kecil tetapi tuan punya aset kritikal negara, yang merupakan tulang belakang kepada sistem pengangkutan negara. Kalau dari awal lagi kertas konsep dah tak lengkap, patutkah kerajaan pertimbangkan?,” tanya beliau.

Beliau berkata dengan hanya menyatakan manfaat pengambilalihan tanpa meletakkan harga tawaran, memang tawaran itu nampak tidak serius.

“Jadi di sini, tidak boleh salahkan kerajaan kerana tidak dapat mempertimbang tawaran itu,” katanya.

Sulaiman juga mempersoalkan kenapa PLUS mesti dijual kepada pihak ketiga sedangkan dalam keadaan sedia ada lebuh raya PLUS diurus dengan baik oleh dua agensi kerajaan.

Lebuh raya PLUS yang kini di bawah pemilikan usaha sama dua agensi kerajaan, KWSP dan Kumpulan UEM, bukan sekadar milik rakyat semata-mata, malah secara langsung memberi manfaat kepada lebih 14 juta pencarum KWSP.

“Kalau ada pun keuntungan yang dinikmati oleh PLUS memberi manfaat kepada pencarum KWSP, kenapa keuntungan ini perlu dipindahkan kepada pihak ketiga?” tambah Sulaiman.
“Pendapatan PLUS bertambah berikutan peningkatan jumlah trafik di lebuh rayanya. Walaupun hasil ini dipulangkan dalam bentuk dividen kepada pencarum KWSP, kita lihat PLUS masih boleh mengambil inisiatif dengan hasil yang mereka peroleh.”

Walaupun tiada kenaikan tol sejak 2005 sehingga kini, pada masa yang sama PLUS mampu mengendalikan keselesaan lebuh raya untuk para penggunanya.

“Dengan mengambil kira kadar trafik yang semakin bertambah, PLUS bukan sahaja telah membuat penambahan lorong daripada dua kepada tiga lorong dan kepada empat lorong, malah mereka juga menambahkan laluan-laluan keluar tertentu yang kesemuanya menggunakan peruntukan dana mereka sendiri”.

Menurut Sulaiman lagi, penambahan lorong serta susur keluar yang dilakukan, bukan saja tidak membebankan kerajaan dari segi kewangan malah memudahkan perjalanan para pengguna PLUS.

“Kalau kerajaan yang menguruskan lebuh raya, matlamatnya bukanlah untuk berniaga dengan rakyat. Keuntungan yang ada itu boleh diguna balik untuk keselesaan para pengguna lebuh raya.”

-mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");