Jenayah

Letupan penyelamat sembilan pekerja kilang kitar semula

letupan

Kuching: Bunyi letupan menyelamatkan nyawa sembilan pekerja termasuk seorang wanita daripada rentung apabila sebuah kilang kitar semula musnah dalam kebakaran di Demak Maju, di sini, kelmarin.

Kebakaran dipercayai berlaku jam 12 tengah malam apabila kebanyakan pekerja kilang terbabit sudah tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kecil daripada kilang berkenaan.

Seorang pekerja hanya dikenali sebagai Damian, 19, berkata, sebelum kejadian, dia bersama sembilan pekerja berusia antara 19 dan 55 tahun baru hendak tidur.

“Beberapa minit kemudian, terdengar beberapa letupan kecil menyebabkan saya terjaga dan sebaik pemeriksaan dilakukan, saya terkejut melihat api sedang membakar beberapa barangan untuk dikitar semula dalam kilang.

“Tanpa membuang masa, saya menjerit ke arah semua pekerja supaya menyelamatkan diri, sebelum menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan.

“Hanya beberapa minit, api semakin membesar sebelum menyambar beberapa barangan lain yang berdekatan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Damian, dia dan rakan sekerja lain bernasib baik kerana tidak berada berdekatan lokasi kejadian berikutan operasi kilang berakhir pada jam 5 petang setiap hari.

“Kami tidak tahu bagaimana kebakaran ini boleh berlaku kerana pada petang hari kejadian, kami tidak melihat apa-apa yang mencurigakan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.16 tengah malam sebelum mengerahkan 15 anggota dari Balai Tabuan Jaya dan Petra Jaya ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.08 pagi dan masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");