Perak Hari Ini

MAMPAN Gesa Penganjur Batal Carnival Nite Out Di Lost World Of Tambun

Majlis Permuafakatan NGO Islam Perak (MAMPAN) hari ini menggesa agar program Carnival Nite Out yang dijadual berlangsung di Lost World of Tambun pada 12 Jun ini dibatalkan oleh pihak penganjur.

Menurut Yang Di Pertuanya, Datuk Mohamad Nor Mansor Al Hafiz, pergaulan bebas, hidangan minuman keras serta pakaian yang menjolok mata dan tidak sopan tidak dapat dielakkan sekiranya program itu diteruskan seperti yang dirancang.

Katanya lagi, program berkenaan itu dijangka dihadiri kira-kira 60 peratus masyarakat Melayu yang beragama Islam.

Tambahnya lagi, penganjuran pesta berkenaan juga jelas tidak menghormati kemangkatan Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan ketibaan bulan Ramadhan yang semakin hampir.

“Program ini perlu dibatalkan kerana pihak penganjur seharusnya menghormati pandangan umat Islam di sini,” katanya kepada pemberita di Ipoh, hari ini.

Tambahnya lagi, pesta berkenaan mirip seperti penganjuran pesta muzik di Bukit Jalil yang mengakibatkan enam maut akibat pengambilan dadah secara berlebihan.

“Ia mencabar kewibawaan umat Islam dan merupakan satu program yang tidak sepatutnya berlangsung pada waktu ini,” katanya.

MAMPAN turut mempersoalkan pemberian permit kebenaran untuk mengadakan pesta berkenaan dan memohon agar pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera berikutan tarikh penganjurannya semakin hampir tiba.

Terdahulu, laporan polis juga telah dibuat oleh lebih 10 wakil NGO Islam berkenaan petang tadi dan memorandum khas juga turut diserahkan kepada Pusat Khidmat DUN Hulu Kinta untuk tindakan susulan.

Bantahan tersebut dikemukakan beberapa NGO Islam antaranya Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Persekutuan Seruan Islam Perak (PSIP), Majlis Ayahanda-ayahanda Perak (MAAP) dan Pertubuhan IKRAM.

Program Carnival Nite Out yang dijangka berlangsung 12 Jun ini juga melibatkan beberapa kumpulan terbuka dari luar negara seperti Blasterjaxx, Ibranovski, Badd Dines dan Rass Knuckles.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");